Surat Yusri Nuqman NST vs Malaysiakini dirujuk.

Isu pertama dan paling utama, saya berpendapat pandangan Yusri (dan beberapa pihak lain) dalam isu kartun Wiley Miller adalah salah dan dangkal. Kelihatan penulis surat ini hanya mengikut arus popular dalam masyarakat kita dan kurang mengkaji dan berfikir sendiri.

Siapakah di kalangan orang Islam yang dapat memastikan sesahih-sahihnya (absolutely conclusive) bahawa karikatur yang diterbitkan oleh akhbar New Straits Times sebulan lepas itu "menghina Nabi"? Dan saya ulang, siapa?

Dan, saya ingin bertanya, apakah Yusri pernah melihat sendiri karikatur tersebut? Sebagai bahan kontroversi, kita harus membahaskan perkara (subject matter) ini dengan jelas dan fikiran jernih lagi terbuka. Saya tidak beranggapan kartun Wiley Miller itu secara pasti (100 peratus) "menghina Nabi". Mungkin boleh dianggap mengkritik umat Islam. Tetapi Miller mengkritik sisi apakah daripada umat Islam - sisi politikkah? Atau sisi agama (pegangan) umat Islam?

Saya beranggapan, Miller hanya mengkritik sisi-sisi politik umat Islam (yakni: demonstrasi besar-besaran dan penuh amarah umat Islam di serata dunia). Dan, saya mencabar semua tokoh politik, parti-parti pembangkang atau kumpulan Islam (termasuk yang membuat laporan polis) berhujah secara terbuka dalam hal ini.

Sejauh mana kartun Wiley Miller itu boleh dikelaskan sebagai "menghina Nabi"? Berbeza dengan karikatur di Jyllands-Posten . Memang niat akhbar Denmark itu jelas dan ia malah telah mempertahankan sikapnya mengadakan projek khas bagi menguji sejauh mana kartunis-kartunis di negara Eropah itu mengamalkan "self-censorship" (penapisan sendiri).

Tanpa segan dan malu, Jyllands-Posten mempertahankan sikapnya, yang bagi sebahagian besar Muslim di dunia ini berasa tersinggung (atas beberapa sebab tertentu). Ada yang tersinggung kerana lakaran itu memaparkan imej Nabi. Ada yang tersinggung kerana memaparkan Nabi

sebagai "pengganas".

Tetapi apakah kartun Wiley Miller itu boleh dimasukkan dalam kategori "menghina Nabi" seperti dilihat oleh beberapa pengamat politik dan gerakan politik di negara kita, termasuk di kalangan bukan Islam? Kartun di akhbar NST itu boleh dilihat sebagai menyindir pendirian dan sikap umat Islam yang berlebihan memprotes karikatur di Denmark tersebut.

Saya hairan, kenapa orang-orang bukan Islam boleh "bersetuju" dengan pendapat umum (popular) yang menyatakan NST telah menerbitkan kartun yang "menghina Nabi". Di manakah asas dan sumber mereka berhujah begitu?

Daripada tanggapan awal (first premise) bahawa kononnya NST telah menghina Nabi, maka ada pihak menganggap kerajaan telah bersikap "double standard" apabila ia tidak mengenakan tindakan kepada akhbar berbahasa Inggeris tertua itu. Sedangkan tanggapan awal tersebut (first premise) tidak pula disemak kembali, berkali-kali! Kaedah berhujah seumpama ini sejenis propaganda untuk menyerang sesuatu pihak, bukan untuk mencari kejernihan berfikir dalam menilai sesuatu isu.

Dalam konteks berhujah yang sama, Yusri cuba pula membandingkan NST dengan tindakan yang dikenakan terhadap malaysiakini pada awal 2003. Perlu ditegaskan, saya (secara peribadi dan secara berkumpulan) bukanlah peminat NST atau kerajaan Umno.

Saya juga tidak menyatakan NST atau Umno itu (dalam hal-hal lain) bersikap wajar. Saya tidak menyatakan NST sebagai "pejuang kebebasan akhbar". Saya turut hadir dan bercakap bagi memprotes langkah kerajaan terhadap teman-teman wartawan malaysiakini dan baru-baru ini terhadap Sarawak Tribune dan editor China Press .

Sekali lagi, saya bertanya sungguh-sungguh: apakah jelas (sejelas-jelasnya) kartun Wiley Miller di NST itu "menghina Nabi"?

Di blog peribadi, sejak isu ini bermula, saya menerbitkan sepenuhnya kartun Miller ini kerana saya yakin ia tidak boleh dianggap "menghina Nabi" dan saya sanggup berdepan dengan organisasi-organisasi Islam atau pihak polis demi mempertahankan sikap saya ini.

Sesuatu yang belum sahih (conclusive) dan masih dalam ruang perbahasan (contestable) tidaklah boleh dijatuhkan hukuman sewenang-wenangnya.

Harus diingat, jika kita memakai prinsip-prinsip hukuman Islam (fekah) sekali pun, kartun Wiley Miller itu tidak boleh dengan sahih disebut "menghina Nabi."