Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
Penduduk tanah rizab Sungai Kedondong teraniaya, tertindas

Sebagai respon kepada kenyataan Menteri Besar Selangor berkenaan terdapat golongan yang menangguk di air keruh serta tuduhan kerajaan negeri bahawa banjir berpunca daripada kedegilan penduduk.

Maka PAS Sungai Buloh menyatakan pendirian kami sebagaimana berikut:

PAS secara konsisten membantah pencerobohan tanah kerajaan yang memberikan kesan buruk kepada kepentingan awam seperti banjir, pencemaran dan seumpamanya.

PAS Sungai Buloh juga secara konsisten terlibat membantu penduduk yang rumahnya dirobohkan atas dasar kemanusian, bukan menangguk di air keruh sebagaimana dakwaan Menteri Besar Selangor yang disiarkan Malaysiakini bertarikh 19 Sept 2019.

Jika menangguk di air keruh, nescaya PAS akan cuba menghalang rundingan penduduk dengan pihak kerajaan sebelum perobohan dilakukan.

Sebaliknya PAS menggesa dan menyokong penduduk berunding dengan kerajaan sebagaimana yang terjadi pada 4 Sept 2019.

PAS turut bergembira dengan keputusan penangguhan perobohan yang terhasil daripada perbincangan tersebut. Jika PAS Sungai Buloh ingin menangguk di air keruh, nescaya PAS adalah golongan yang paling berdukacita apabila berlaku rundingan dan penangguhan.

Gesa terus di situ

Mendengar tangisan anak-anak kecil, rintihan ibu-ibu, ada bapa yang digari, tiada tempat berteduh selepas perobohan, jerebu yang teruk, hujan yang melanda pada petangnya, menjadikan penduduk mangsa roboh tiada pembelaan dan boleh berlakunya krisis kemanusiaan.

Suasana ini memaksa PAS bersama-sama penduduk tempatan membantu, melindungi dan menyediakan makanan kepada mereka sehingga mereka betul-betul stabil dan trauma mereka hilang.

Sekalipun pihak kerajaan melabelkan pihak yang membantu penduduk ini sebagai menangguk di air keruh, PAS konsisten bersama-sama penduduk setempat membantu mereka yang lemah tanpa pembelaan.

Apabila melihat penduduk terbabit bukan saja menjadi mangsa tanpa pembelaan sewajarnya, PAS Sungai Buloh juga mendapati mereka difitnah sebagai pendatang tanpa izin serta degil kerana enggan berpindah.


Baca PAS tuntut rumah transit, ‘rakyat bukan itik’


Apa yang PAS Sungai Buloh dapati ialah dokumen-dokumen jelas daripada pihak ADUN Khairuddin Othman (Paya Jaras) sendiri yang membantah pemindahan serta menggesa supaya mereka terus menetap di situ.

Surat itu bertarikh 12 Julai 2016 bertajuk: Bantahan Terhadap Sebarang Tindakan Perobohan Ke Atas 153 Buah Rumah Kediaman Di Kampung Paya Jaras Hiliir, Sungai Buloh.

Ia menggambarkan beliau pada waktu itu membantah perobohan, bukan meminta ia ditangguhkan.

Dalam Facebooknya bertarikh 3 Julai 2016 beliau merakamkan kenyaaannya di tapak perobohan berbunyi: “Jangan keluar dari rumah dan tunggu arahan saya selanjutnya!”.

Semua kenyataan itu menjadikan penduduk berkeyakinan bahawa mereka terus berhak berada disitu sehingga notis pada Ogos 2019 dikeluarkan supaya mereka mengosongkan rumah mereka dalam tempoh 30 hari.

Permintaan penduduk ialah tangguh sehingga Nov 2019, bukan mahu terus kekal di situ.

Menteri besar dan Adun Paya Jaras, beberapa exco kerajaan dan pemimpin PH menggambarkan seolah-oleh penduduk berkeras enggan berpindah sejak 2015 serta melabelkan penduduk sebagai punca banjir (jika berlaku).

Jika berlaku banjir, kerugian akibat projek yang tidak dijalankan, PAS Sungai Buloh melihat Adun Paya Jaras dan Azmin Ali (bekas menteri besar) turut terlibat kerana penangguhan itu berpunca daripada bantahan Kharuddin sendiri melalui surat rasminya pada 12 Julai 2016.

PAS Sungai Buloh menghantar surat melalui serahan tangan ke pejabat Khairuddin untuk bertemu dan berbincang. Malangnya didapati pejabat itu tutup dalam beberapa tarikh yang berkaitan.

Atas dasar fakta yang diperolehi pihak penduduk dan kegagalan untuk dibuktikan sebaliknya oleh kerajaan dan Adun Paya Jaras beserta kegagalan berhubung dengan disebabkan pejabat yang tutup, maka PAS Sungai Buloh berpendirian penduduk terbabit adalah teraniaya dan tertindas.


ZAHARUDIN MUHAMMAD ialah Yang Dipertua PAS Sungai Buloh.

Kenyataan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS