Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pelantikan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad sebagai pemangku Menteri Pendidikan adalah satu kejadian 'dejavu' yang cukup signifikan dalam dunia pendidikan tanah air.

Dr Mahathir pernah menjadi Menteri Pendidikan sebelum ini dan hampir menjadi Menteri Pendidikan semula dalam kerajaan baharu selepas pilihan raya umum yang lepas namun manifesto Pakatan Harapan (PH) menjadi penghalang kepada hasrat tersebut yang kemudian melantik Dr Maszlee Malik. Jadi kementerian ini tidak asing lagi kepada beliau.

Umum mengetahui Dr Mahathir adalah seorang yang sangat mementingkan pendidikan dan mencintai ilmu pengetahuan. Beliau dan isteri yang sama-sama menjadi doktor perubatan adalah antara manifestasi suri teladan yang hebat.

Malah beliau juga suka membaca dan menulis. Sudah banyak buku dihasilkan sebelum ini di samping masih terus menulis dalam media baharu sehingga kini serta sentiasa menggalakkan rakyat untuk membaca dan meneroka ilmu pengetahuan dan kemahiran yang baharu untuk memajukan diri dan juga membangunkan negara.

Oleh itu kembalinya Dr Mahathir ke pangkuan kementeran ini umpama sirih pulang gagang pastinya disambut baik dan dinanti-nantikan oleh semua pihak.

Hal ini kerana kita yakin pengalaman sebagai orang lama dan veteran politik akan membantu mencorak dan memperkasakan terus sistem pendidikan yang kita mahukan.

Hari ini semakin banyak isu pendidikan sedang hangat diperdebatkan. Antaranya isu tulisan Jawi, sekolah wawasan, sekolah satu aliran, Dong Zong dan juga UEC.

Ironinya isu-isu ini bukan saja berlegar sebagai isu sektor pendidikan semata-mata tetapi sudah diangkat menjadi isu nasional yang mengancam perpaduan antara kaum.

Masyarakat kelihatan semakin bertelagah bila berbicara tentang isu ini. Yang menyokong cuba mempertahankan hujah sokongan, yang membangkang dan tidak setuju pula menampilkan hujah bantahan.

Akhirnya ia menular menjadi isu bangsa dan agama sehingga kelihatan menjadi pencetus provokasi dalam kalangan anggota masyarakat. Pertelagahan dan pertelingkahan jelas kelihatan dalam media sosial seperti facebook dan twitter.

Netizen saling serang-menyerang antara satu sama lain dengan pelbagai hujah yang bersandarkan kebencian agama dan bangsa. Komen-komen yang ditulis cukup membimbangkan kerana ada yang berbentuk cacian, makian, ugutan serta provokasi yang melampau.

Hakikatnya pendidikan adalah isu yang cukup penting dan sangat sensitif. Masa depan generasi akan datang dan juga negara bergantung kepada modal insan yang dapat dilahirkan oleh sistem pendidikan negara.

Jadi kita perlu ada hala tuju yang jelas dalam soal ini supaya anak-anak tidak menjadi mangsa keadaan. Justeru apa jua keputusan mahupun dasar yang hendak diperkenal dan dilaksanakan tidak boleh dipengaruhi atau disandarkan kepada ideologi politik, agama dan bangsa tertentu.

Kita perlu berpegang kepada roh dan semangat falsafah pendidikan negara serta sentiasa bersandarkan kepada Perlembagaan Persekutan dan Rukun Negara supaya dapat melahirkan insan yang seimbang yang memiliki jati diri yang kental sebagai bangsa Malaysia.

Dalam konteks ini kita yakin Dr Mahathir sebagai negarawan ulung boleh menggunakan kedudukan sebagai Perdana Menteri dan pemangku Menteri Pendidikan yang mempunyai pengalaman yang luas untuk membuat keputusan yang betul, bijak dan tepat dengan mesej dan nada yang jelas dan tegas.

Cukup-cukuplah kita play safe, terlalu menjaga hati dan menjaga kepentingan kelompok-kelompok tertentu apatah lagi tunduk kepada desakan dan tuntutan yang tidak wajar dan tidak mengutamakan kepentingan nasional dan juga pendidikan negara.

Kita perlu akui tahap perpaduan dalam kalangan generasi sekarang cukup membimbangkan. Gelagat dan tingkah laku golongan muda yang begitu vokal atas dasar kebebasan bersuara dan tidak begitu mempedulikan keperluan untuk menjaga sensitiviti orang lain dan memelihara perpaduan dan keharmonian antara kaum jelas kelihatan dalam media baharu.

Apa puncanya? Sudah semestinya puncanya ialah sistem pendidikan yang melahirkan mereka di mana anak-anak ini telah dipisahkan sejak di bangku sekolah rendah mengikut kaum.

Pemisahan yang berlaku dalam tempoh enam tahun asas yang cukup penting itu telah menjejaskan perpaduan yang diharapkan. Sekarang kita sedang menyaksikan hasil kegagalan sistem pendidikan vernakular yang begitu membimbangkan.

Dikhuatiri jika keadaan ini berterusan impaknya kelak boleh meruntuhkan jambatan perpaduan yang ada sekaligus menghancurkan masa depan rakyat dan negara yang kita cintai ini. Persoalannya sampai bila kita mahu meneruskan kesilapan ini umpama menegakkan benang yang basah. Belum cukupkah bukti yang terhidang depan mata?

Oleh itu penulis percaya inilah masanya untuk kita memperbaiki dan memperbetulkan kesilapan yang telah kita buat sejak 63 tahun yang lalu. Kalau kita masih gagal percayalah generasi akan datang hanya akan membaca dalam buku sejarah betapa Malaysia pernah menjadi negara majmuk yang bersatu padu satu ketika dahulu.

Apakah itu yang kita mahu tinggalkan kepada anak cucu kita? Jadi sebelum semuanya terlambat dan tanpa menafikan hak mana-mana kaum marilah kita buang ego, ketepikan segala perbezaan dan pemikiran sempit berasaskan kaum mahupun ideologi politik supaya dengan lapang dada boleh menerima cadangan Dr Mahathir untuk menghidupkan dan memperkasakan semula Sekolah Wawasan sebagai wadah penyatuan dan perpaduan nasional.

Sedarlah sekolah ini sama sekali tidak akan menghilangkan identiti kaum masing-masing. Justeru sama-samalah kita berganding bahu, bersatu hati dan membantu Dr Mahathir dalam tempoh pemangkuan ini untuk meletak asas yang kukuh bagi memperkasakan sistem pendidikan negara demi membina tamadun sebuah bangsa Malaysia.


NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED merupakan timbalan pengarah pejabat strategi korporat dan komunikasi Universiti Putra Malaysia.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS