Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat

Kenyataan lucu daripada seorang bekas penasihat agama bagi kerajaan DAP di Pulau Pinang, Wan Ji Wan Hussin apabila tulisan beliau yang disiarkan dalam satu portal bertarikh 10 Februari 2020 yang bertajuk “Presiden PAS perlu berakhlak dalam berpolitik”.

Beliau hanya meneruskan tohmahan lapuk dengan memainkan sentimen takfiri, politik pintu belakang, perkauman dan gelaran ‘munafik’ hasil ekstremis, konon dari PAS. Sedangkan semua tersebut merupakan tohmahan yang dipolemikkan dengan niat jahat sejak dahulu.

Hakikatnya, beliau sendiri secara jelas tidak berakhlak dalam politik apabila menghina institusi raja yang diamalkan dalam pentadbiran Malaysia sejak dahulu serta memanggil dengan gelaran “syaitan”. Malahan perancangan menghapuskan institusi raja pada tahun 2030 yang kantoi dalam video yang ditularkan adalah pintu belakang yang teramat jahat lagi merosakkan sistem pemerintahan di Malaysia yang sedia ada.


Baca: Pendakwah pertahan diri dari dakwaan hina sultan


Wan Ji sebenarnya tidak faham apa itu “akhlak” menurut perspektif agama Islam yang sebenar. Jika benar faham, mengapa masih bersekongkol dengan parti yang jelas perjuangan mereka bersifat cauvinis dan anti-Islam. Lihat sahaja era kerajaan baharu yang semakin menggelisahkan umat Islam apabila terlalu banyak isu yang berkaitan sensitiviti dan maslahat ummah yang dirobek sedikit demi sedikit.

Wan Ji Wan Hussin 

Bila bercakap soal akhlak mesti menepati al-Quran dan al-Sunnah dan melaksanakan kedua-duanya. Sebab itu, disebutkan jika mahu akhlak Rasulullah SAW maka lihatlah al-Quran. Apa sahaja yang al-Quran perintah maka laksanakan, dan begitu apa sahaja yang al-Quran larang, maka mesti ditinggalkan. Tidak dinamakan berakhlak jika melawan perintah agama sekalipun bercakap dengan suara lunak.

Firman Allah SWT (bermaksud):

“Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia. Maka (tidak lama lagi) engkau akan melihat, dan mereka juga akan melihat. Siapakah orangnya yang gila di antara kamu semua. Sesungguhnya uhanmu, Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk. Oleh itu (berpegang teguhlah pada ajaran Islam yang sedang engkau amalkan, dan) janganlah engkau menurut kemahuan orang-orang yang mendustakan (agama Allah). Mereka suka kalaulah engkau bertolak ansur (menurut kemahuan mereka), supaya mereka juga bertolak ansur berlemah-lembut (pada zahirnya terhadapmu). Dan janganlah engkau (berkisar dari pendirianmu yang benar, dan jangan) menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina (pendapatnya dan amalannya).” (Al-Qalam: 4 – 10)

Menempel nama ulama

Sikap menempel pada nama ulama namun perbuatan yang ditunjukkan adalah tidak selari dengan kehendak ulamak tersebut adalah sikap yang jijik. Beliau menempel pada nama Syeikh Bin Bayyah dalam merujuk “akhlak” bagi contoh namun perbuatan beliau sendiri tidak berakhlak dalam tindakan menghina institusi raja dan terus tohmah fitnah dalam polemik takfiri adalah tidak selari.

Malah inilah perangai Khawarij iaitu kumpulan yang menempel pada ayat al-Quran namun manipulasi kehendak dengan cara yang batil. Sebagaimana Khawarij apabila ditanya oleh Ibn Abbas kepada mereka mengapa mereka tidak bersetuju dengan tindakan Majlis Tahkim antara Sayiduna Ali bin Abu Talib dengan Muawiyah bin Abu Sufian, mereka menempel pada ayat.

Syeikh Bin Bayyah 

Walhal apa yang dilakukan menerusi Majlis Tahkim adalah selari dengan perintah Allah dalam menyelesaikan perselisihan dengan mengutus wakil hakim (orang yang boleh buat keputusan) sebagaimana firman-Nya (bermaksud):

“Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah ‘orang tengah’ (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua ‘orang tengah’ itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuan- Nya.” (An-Nisa’: 35)

Kisah yang dibawa dalam tulisan Wan Ji berkisar sejarah sahabat adalah benar namun dimanipulasi untuk kepentingan beliau dalam situasi semasa. Sedangkan beliau yang perlu belajar mengenai akhlak dalam berpolitik. Jangan kerana kepentingan kedudukan, jawatan dan menjaga periuk nasi beliau terus menerus fitnah, tohmah, menempel pada nama ulama dan memanipulasi ayat.

Berakhlak dalam berpolitik ialah kita teguh dengan kebenaran. Tegas pada berprinsip dan toleransi pada tempat yang dibenarkan. Al-Quran sendiri membenarkan kita berbuat baik pada orang kafir yang tidak ekstremis namun melarang berbaik pada orang kafir yang ekstrem. Ini namanya berakhlak.

Firman Allah SWT (bermaksud):

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Al-Mumtahana: 8-9)


DR MUHAMAD ZUHAILI SAIMAN ialah Pengerusi Lajnah Perkaderan Ulama Pelapis, Dewan Ulamak PAS.

Tulisan ini disiarkan kali pertama di Harakahdaily dengan tajuk sama. Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS