Paling Popular
Terkini

SURAT l Akhir-akhir ini, 'angin' yang bertiup membawa pelbagai khabar dan gosip politik.

Bagi yang menyokong Pakatan Harapan (PH), khabar angin sebegini begitu enak didengar, manakala buat penyokong Perikatan Nasional (PN), angin sepoi-sepoi bahasa itu seakan ribut taufan pula.

Mungkinkah khabar-khabar tersebut bakal mencipta rekod menjadikan PN kerajaan tersingkat dalam sejarah Malaysia, memecahkan rekod 22 bulan PH?

'Mentafsir' segala gosip politik ini bukanlah suatu seni yang mudah, tapi ia bukan juga sesukar memahami bidang sains roket.

Sebelum khabar-khabar angin itu dirungkai, harus ditekankan sekali lagi bahawa penafsiran ini adalah pandangan peribadi saya. 

Dengan keterbatasan sumber dan pergantungan yang mendalam hanya kepada berita dan portal berita, anggapkan sahaja segala andaian ini hanyalah coretan peribadi, atau bak kata Hishamuddin Rais, "merakam sejarah."

1. Benarkah PN tiada majoriti di parlimen?

Pada pandangan peribadi saya, kemungkinan besar jawapannya ialah "ya".

Ada pendapat menganggap memang dari awal lagi PN tidak memiliki majoriti di parlimen. Bagaimanapun, pertikaian ini sekarang bersifat akademik semata-mata kerana Muhyiddin Yassin sudah pun mengangkat sumpah sebagai perdana menteri atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Berdasarkan sidang separuh hari parlimen pada 18 Mei lalu, PN dilihat mempunyai majoriti. Namun demikian, berlaku sedikit pertikaian apabila Masir Kujat dari Parti Sarawak Bersatu (PSB) diletakkan bersama penyokong PN.

Kendatipun sedemikian, PN masih dilihat mempunyai kelebihan dua kerusi - iaitu 113 berbanding 109 - daripada PH.

Beberapa hari kebelakangan ini, heboh pula diperkatakan tentang sidang media Ahli Parlimen Alor Gajah, Mohd Redzuan Md Yusof (gambar, atas), dan Shahruddin Md Salleh (Sri Gading). Dipercayai ramai bahawa sidang media itu dirancang diadakan untuk mereka mengumumkan langkah keluar dari kabinet kerajaan PN.

Bagaimanapun sehingga lewat petang, tiada sidang media diadakan dan sekonyong-konyong muncul surat daripada setiausaha politik beliau (menggunakan kepala surat Jabatan Perdana Menteri) yang menyatakan bahawa Redzuan sedang dikuarantin akibat Covid-19.

Yang melucukan, Mohd Redzuan mengaku pada pagi tersebut beliau ada berjumpa Dr Mahathir Mohamad di pejabat ahli parlimen Langkawi itu di Putrajaya dan mendapat "surat perlepasan khas" kuarantin.

Bagaimana pula dengan Shahruddin? Ada video yang berjaya merakam kelibat beliau bertemu dengan Mahathir di pejabat Bersatu di Yayasan Selangor. Bekas setiausaha agung pertama Bersatu itu mengucapkan "Selamat Hari Raya."

Mujurlah sebagai timbalan menteri, beliau tidak diperuntukkan setiausaha politik secara rasmi. Jika tidak barangkali setiausaha politik beliau sudahpun menulis kenyataan media seperti setiausaha politik Mohd Redzuan.

Segala kepelikan yang berlaku itu membuatkan saya cenderung untuk menyatakan bahawa mereka berdua sedang berenang-renang dalam 'kolam' Mahathir dan PH.

Pada masa sama, kita harus juga mempertimbangkan rasa tidak selesa parti dari Sarawak terhadap sikap PAS dalam isu minuman keras.

Bagaimana pula dengan khabar angin mendakwa ada presiden parti komponen dalam PN yang bertemu dengan Mahathir pada Ramadan lalu dan menawarkan sokongan?

Bagaimana pula dengan pertikaian "panglima perang" dalam Umno yang berasakan bahawa sumbangan mereka meramaikan jumlah penyokong PN dalam parlimen tidak dihargai Muhyiddin?

Di mana pula watak watak "loose cannon" seperti Nazri Aziz (sekadar contoh) yang tiba tiba menjadi begitu senyap?

2. Benarkah kerajaan negeri Johor (PN) bakal tumbang?

Jika mengikut pertimbangan saya, kemungkinan besar jawapannya juga "ya" tetapi ia bergantung kepada situasi kerajaan pusat. Bolehlah dianggap sebagai sesuatu yang tidak berasas untuk Adun Bersatu di Johor kembali kepada rakan sekutu mereka dalam PH hanya untuk menjadi "negeri pembangkang".

Bukanlah rahsia ada kesetiaan Adun Bersatu di Johor kini terbelah dua dengan masing-masing memberikan sokongan kepada Mahathir dan Muhyiddin.

Tanpa perlu menyebut nama, harus diakui bahawa Adun Bersatu tidak berpuas hati dengan kehilangan kuasa mereka selepas kerajaan bertukar tempoh hari.

Misalnya, jawatan menteri besar Johor.

Pembahagian 'ghanimah' di negeri selatan itu juga boleh dikatakan tidak memberi kepuasan yang tinggi kepada Bersatu dan penyokong mereka.

Tidak cukup dengan itu langkah memberikan tugas 'menjaga nanas' kepada Dr Sahruddin Jamal - yang sebelum ini menjadi menteri besar - dianggap mempersendakan beliau dan Bersatu.

Hal itu kerana pada masa sama mantan menteri besar dari Umno dan gagal memenangi kerusi DUN atau parlimen pada 2018 dibenarkan mendekam sebuah konglomerat bernama Boustead.

Kelebihan majoriti yang tipis dalam DUN Johor juga menyumbang ke arah ketidakstabilan kerajaan PN.

Rasanya jika kerajaan pusat bertukar, tidak ada banyak masa yang akan diluangkan oleh Adun Bersatu Johor untuk bertindak menukar 'kapal' masing-masing.

3. Benarkah kerajaan Kedah (PN) bakal kembali kepada PH?

Kemungkinan besar tidak.

Komposisi di DUN Kedah sedikit berbeza kerana parti paling besar ialah PAS. Harus diakui bahawa wakil rakyat parti itu mempunyai ketaatan yang sangat tinggi terhadap parti dan ketua mereka.

Selepas perpecahan PAS yang melahirkan Amanah, rata-rata anggota yang masih tinggal dalam PAS adalah golongan walak, patuh dan taat kepada 'mullah' mereka iaitu Abdul Hadi Awang.

Adalah sesuatu yang menghampiri mustahil untuk mereka menyertai PH ketika pemimpin mereka sedang duduk sedap di bangku empuk menteri besar Kedah.

Bahkan Mukhriz sendiri ketika sidang media mengumumkan perletakan jawatan sebagai menteri besar ada menyatakan bahawa sesiapa yang melompat dari PH tidak akan diterima kembali jika mereka ingin membuat pusingan U.

Deklarasi "tiada maaf bagimu" yang diutarakan oleh Mukhriz itu mengecilkan kebarangkalian untuk mereka diterima kembali jika tiba-tiba berubah hati.

Dalam politik sememangnya tiada yang mustahil, tapi saya tidak fikir Mukhriz seorang yang pemaaf dalam isu pengkhianatan.

4. Bagaimana pula dengan Melaka?

Saya rasa sedikit mustahil. Jumlah kerusi yang terhad di DUN Melaka menyukarkan sebarang langkah untuk 'berkuntau'.

Sebelum ini pun Bersatu Melaka gagal dalam cubaan menarik Adun Umno untuk menyokong mereka. Justeru saya tidak merasakan kali ini mereka boleh berjaya.

Secara peribadi (sebagai penyokong PH), saya lebih suka Adun Paya Rumput, Mohd Rafiq Naizamohideen, dan Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) kekal di tempat mereka berada sekarang.

PH Melaka harus mengelak diri daripada mencari pasal dan mendukung biawak hidup.


JOHANI JOHARI ialah pembaca setia Malaysiakini yang meminati 'intrigue' (sepak terajang) dunia politik Malaysia.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS