Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

SURAT | Terlebih dahulu saya mengucapkan tahniah di atas kemenangan wakil rakyat baru Sabah. Kepada yang tewas tahniah juga kerana menjadi seorang pemimpin yang demokratik dan berjiwa besar.

Keputusan rasmi telah pun dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) dengan kedudukan Warisan (29), Perikatan Nasional (17), Barisan Nasional (14), Parti Bersatu Sabah (7), Bebas (3), PKR (2) dan Upko (1).

Keputusan ini tidak jauh beza dengan Pilihan Raya Negeri Sabah 2018 di mana gabungan BN sepatutnya membentuk kerajaan negeri Sabah tetapi suara demokrasi rakyat dinafikan oleh adegan lompat.

Persoalannya, apa lagi yang Yang Di-Pertua (YDP) Negeri Sabah mahu tunggu? Jalankanlah dan jangan rosakkan proses perlantikan Kerajaan baharu yang telah dipilih oleh rakyat.

Gabungan parti-parti PN, BN dan PBS sudah cukup untuk membentuk kerajaan negeri. Mana-mana parti tidak perlulah mengusahakan adegan beli-membeli wakil rakyat lagi kerana ia perbuatan yang tidak demokratik, menyusahkan rakyat dan negeri, dan sangat tidak patriotik.

Bukan itu sahaja, pembangunan negeri terganggu, perjalanan urusan kerajaan negeri caca-merba, urusan kewangan dan bajet pembangunan tidak dapat disalurkan, pertukaran jawatan-jawatan yang sangat kerap dalam kerajaan merosakkan hala tuju pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Cukup-cukuplah melompat sana-sini. Wakil-wakil rakyat yang telah menang atas tiket parti masing-masing, belajarlah menjadi wakil rakyat yang dihormati.

Kembalilah kepada rakyat di kawasan masing-masing, berkhidmat kepada mereka yang telah memilih anda.

Kerajaan baharu yang mempunyai kesinambungan dengan Kerajaan pusat di Putrajaya ini bakal menyaksikan proses pembangunan fizikal dan ekonomi bergerak lancar.

Sudah sampai masanya projek-projek besar seperti PAN Borneo dipercepatkan. Sedarilah, jalan raya utama di Sabah masih bertaraf tahun 60an dan 70an di Semenanjung Malaysia.

Kita tidak boleh salahkan kerajaan pusat selama-lamanya, tetapi kita harus koreksi diri kita sendiri betapa politik yang keterlaluan dan tidak demokratik di Sabah menjadikan kita mundur.

Saya berharap YDP Sabah akan meneruskan proses pembentukan Kerajaan baharu dengan segera. Proses memilih Kerajaan baharu sudahpun diadakan, banyak wang dilaburkan dalam pilihanraya ini.

Pada PRU18, Umno menang paling banyak kerusi iaitu (54), berbanding PKR (47), DAP (42), PAS (18), PBB (13), Amanah (11) dan Warisan (8).

Saya telah menelefon orang kanan Najib di Jabatan Perdana Menteri, apakah Najib mahu menerima kekalahan atau mengusahakan gabungan baharu? Beliau menyatakan, kita kena terima takdir Allah SWT dan Alhamdulillah Najib menyatakan beliau seorang yang demokratik dan menerima kekalahan tersebut.

Begitu jugalah sepatutnya Shafie Apdal, walaupun dalam PRN Sabah semalam memenangi 29 kerusi, tetapi ia tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri.

Maka janganlah diusahakan mempengaruhi wakil-wakil rakyat lain supaya melompat untuk mencukupkan jumlah. Wakil-wakil rakyat pula janganlah terhegeh-hegeh menjual maruah dan prinsip gara-gara dijanji pelbagai perkara.

Nasihat saya, hormatilah proses demokrasi yang telah dilaksanakan oleh rakyat. Berhentilah adegan lompat-melompat.

Gabungan PN-BN-PBS yang telah diketahui sebelum PRN sebagai Gabungan Rakyat Sabah (GRS), bentuklah kerajaan negeri dengan segera supaya rakyat Sabah boleh meneruskan kehidupan dengan aman dan harmoni.


Dr Al-Azharri Siddiq Kamunri merupakan penganalisis politik dan kerajaan, keselamatan negara, patriotisme dan pembinaan negara bangsa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS