Malaysiakini
SURAT

SURAT | Siswa cadang diskaun bil air setiap kali gangguan bekalan

Muhammad Aqil Asyraaf ‘Aini

Diterbitkan
Dikemaskini 30 Dis 2020, 12:02 tengahari

Sepanjang tahun 2020 sahaja, terdapat lebih lapan kali isu pencemaran sungai di Selangor dibangkitkan yang menyebabkan warga Selangor terputus bekalan air bersih.

Pencemaran sungai ini berlaku di beberapa sungai, antaranya adalah Sungai Gong, Sungai Semenyih, Sungai Langat dan Sungai Selangor.

Air merupakan sumber yang penting kepada manusia, penggunaan air adalah penting untuk kehidupan seharian bagi rakyat terutama rakyat Selangor.

Pada 19 Oktober, kejadian pencemaran air di Sungai Gong merupakan kejadian terburuk menyebabkan 1.2 juta akaun pengguna di sekitar Lembah Klang tidak mendapat bekalan air bersih.

Pencemaran yang berbau seakan pelarut ini berpunca daripada sebuah bengkel membaiki dan menjual jentera pembinaan dikesan masuk ke sungai itu dan menyebabkan henti tugas LRA SSP1, SSP2, SSP3 dan Rantau Panjang.

Dikatakan sebuah bengkel jentera berat di sekitar Sungai Gong, Rawang itu telah di kompaun sebanyak RM 60,000 pada 17 Mac akibat daripada kejadian sama berlaku pada Oktober.

Bagaimanapun, menurut siasatan lanjut, bengkel tersebut tidak mempunyai lesen atau dikatakan haram kerana tidak mendapat kebenaran kerajaan negeri.

Menjadi persoalan kepada rakyat, bagaimana bengkel ataupun kilang ini mendapat tapak untuk didirikan tanpa kebenaran kerajaan?

Rakyat juga tertanya, setelah 12 tahun mentadbir Selangor, isu ini masih lagi tiada solusi daripada pihak kerajaan negeri malah menjadi bertambah teruk.

Saya berpendapat, tindakan kerajaan Selangor memberikan tawaran kepada pemilik kilang haram menerusi program pemutihan adalah tidak wajar kerana seharusnya operasi kilang ini diberhentikan serta merta berikutan mengundang risiko kepada sumber air.

Sekiranya sesetengah pihak melanggar Akta Kualiti Alam Sekitar 1974, seharusnya pihak terlibat dikenakan tindakan.

Sudah tiba masa untuk kerajaan negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan meminda undang-undang dengan menaikkan kadar hukuman kepada jutaan ringgit, diisytiharkan muflis atau dipenjarakan untuk tempoh lama.

Kita tidak boleh mengambil isu pencemaran sungai ini sewenang-wenangnya kerana isu pencemaran sungai atau air ini adalah satu isu yang serius.

Kita tidak mahu kejadian pencemaran di Sungai Kim-Kim, Pasir Gudang, Johor berlaku di Sungai Selangor.

Mengulas mengenai tindakan kerajaan yang menggunakan dron untuk memantau kilang-kilang berdekatan sungai itu adalah kurang efektif untuk mengatasi masalah pencemaran sungai.

Pada pendapat saya, kerajaan sepatutnya mencari punca sebenar dengan memberi tumpuan kepada kilang-kilang haram yang masih beroperasi.

Mengenai hukuman serta tindakan, saya berpendapat seharusnya hukuman untuk pesalah alam sekitar ini ditingkatkan.

Kadar denda untuk pesalah perlulah melebihi lima juta ringgit agar mereka tidak mengulangi kesalahan.

Sekiranya meletakkan kadar denda rendah, mereka berasa tidak akan mengalami kerugian yang besar.

Rakyat Selangor memohon agar mereka yang bertanggungjawab dikenakan hukuman serius seperti hukuman penjara, mengisytiharkan pihak terbabit sebagai bankrap.

Rakyat sudah penat menderita. Rakyat penat untuk berdepan isu ini sekiranya berlarutan untuk tempoh tahun yang mendatang.

Kalau dilihat daripada sudut kesan kepada rakyat, kesan yang diterima adalah amat besar.

Kita tidak melihat daripada sudut minuman dan keperluan untuk membersihkan diri sahaja, kita juga melihat daripada sudut ekonomi.

Banyak pengusaha restoran yang mengeluh dan menutup operasi mereka sementara kerana mereka tidak mempunyai air bersih untuk mencuci dan sebagainya.

Pendapatan mereka juga akan terjejas dengan teruk sekali.

Berdasarkan situasi semasa yang dilanda dengan Covid-19, rakyat terpaksa keluar rumah untuk mengambil bekalan air bersih untuk keperluan harian.

Ini boleh mengundang risiko kepada penularan wabak untuk kluster pengambilan air. Secara tidak langsung ia akan memberi risiko kepada nyawa.

Beban rakyat juga bertambah kerana terpaksa mengangkut air dari tempat jauh. Terdapat juga beberapa pengguna mengambil cuti bekerja kerana ingin membantu ahli keluarga mengambil.

Begitu perit situasi yang dihadapi oleh rakyat. Perkataan rakyat merana itu adalah amat sesuai digambarkan dengan situasi semasa.

Oleh itu, kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan perlu mengambil satu tindakan komprehensif atau efektif untuk membendung gejala pencemaran sungai ini daripada terus berlarutan.

Harapan rakyat adalah amat tinggi kepada pemerintah kerana mereka adalah pengguna tetap bekalan air di Selangor.

Diskaun untuk pengguna air yang terjejas wajar diberikan kerana mereka telah banyak derita.

Mereka juga telah banyak mengeluarkan duit sendiri untuk mendapatkan bekalan air semasa air ditutup untuk penyelenggaraan.

Kerajaan perlu mencari solusi yang tepat dalam menangani isu pencemaran sungai ini.

Air dan manusia tidak dapat dipisahkan kerana manusia memerlukan air untuk kelangsungan hidup mereka.

Harapan rakyat adalah penting sekiranya ingin mendapatkan mandat daripada rakyat pada masa akan datang.


MUHAMMAD AQIL ASYRAAF ‘AINI adalah pelajar dari Universiti Malaya.

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.