Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perkataan politikus adalah gabungan daripada dua perkataan; (a) politik, dan (b) tikus.

Secara etimologinya, perkataan “politik” boleh dijejaki pengaruhnya sehingga ke tamadun Yunani apabila dimasyhurkan oleh bapa falsafah Aristotle dalam karyanya Politiká ‘ yang bermaksud “pengurusan bandar” (affairs of the cities).

Dalam membincangkan semantik “politik”, tidak lengkap jika tidak digandingkan sekali dengan perkataan “polis” yang juga punya pengaruh bahasa Yunani, “politeia”.

Kedua-dua perkataan ini “politiká” dan “politeia” berkongsi akar kata yang sama iaitu “polis” yang bermaksud bandar.

Ringkasnya, berdasarkan apa yang ditulis di atas, dapat kita simpulkan beberapa peranan ahli politik adalah menguruskan hal ehwal bandar, ekonominya dan kesejahteraan rakyatnya.

Namun sayangnya, amanah mulia ini diabaikan dengan pengamalan sikap “tikus” dalam kalangan ahli politik.

Dalam bahasa Arab, tikus disebut sebagai ’ الفأر’ tetapi rasul SAW dalam hadisnya yang mulia menggelarkan haiwan licik ini sebagai fawasiq (فَوَاسِقُ ) “mischief-doers” yang mempunyai akar kata fasiq (ف-س-ق) yang bermaksud melakukan kerosakan, menyimpang daripada jalan yang benar, tiada moral, perbuatan yang tidak senonoh.

Para ulama juga ada menulis tikus sebagai perosak kecil (fuwaisiq) kerana tikus gemar menjatuhkan barang-barang ditempat yang dilaluinya.

Secara falsafahnya, ahli politik sepatutnya meletakkan keutamaan (aulawiyat) pada tanggungjawab dan amanah mensejahterakan kehidupan rakyatnya dan bukannya bersifat seperti sang tikus, menjahanamkan dan merosakkan.

Di Malaysia, isu korupsi dalam pimpinan parti politik dan penjawat awam (kad pengenalan palsu, imigresen dan Pati), isu pengangguran, pembalakan haram tak terkawal yang mengakibatkan banjir, syarikat mencemarkan sungai sehingga mengganggu kehidupan rakyat Selangor, kartel daging haram, kenaikan dan monopoli harga barang serta pendidikan dan keciciran murid sepatutnya diberikan keutamaan berbanding “cita-cita atau pandangan akar umbi parti”.

Ini secara tidak langsung berkait dengan kualiti dan kesejahteraan kehidupan rakyat marhaen yang mahukan keamanan, kesihatan mental, rohani dan jasmani.

Dari sudut maqasid syariah, hifz an-nafs (penjagaan kehidupan) adalah antara maqsud yang paling banyak terkait dengan maqāsid yang lain (penjagaan agama, kualiti akal, kualiti keturunan, dan harta).

Ia adalah kerangka maqāsidul maqāsid yang gagal difahami sebahagian besar pemimpin negara Malaysia.

Ya! Rakyat 'bernafas' tetapi tercungap-cungap.

Harus diakui bahawa majoriti rakyat marhaen tidak berminat pun dengan isu perebutan kuasa dalam kalangan ahli politik berbanding mengisi periuk nasi mereka.

Itu pun jika periuk masih punya ‘nasi’.

Harapkan bantuan, I-Sinar KWSP duit sendiri. Harapkan ahli politik, ahli politik jadi tikus. Demikian hikayat falsafah politikus.


AMIR ‘IZZUDDIN MUHAMMAD ialah seorang pelajar pascasiswazah yang menginat di Shah Alam, Selangor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS