Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | Kelantan tidak lagi dianaktiri dalam isu bekalan air

Sememangnya isu air di Kelantan masih menjadi modal politik pihak tertentu tanpa melihat kepada fakta dan asas yang tepat.

Terbaru, seorang ketua pemuda pembangkang di Kelantan masih bersandiwara memainkan isu air di Kelantan seolah-olah kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri tidak cakna kepada rakyat Kelantan itu sendiri. Pandangan yang dilontarkan oleh ketua pemuda pembangkang itu sememangnya dangkal dan tidak masuk akal.

Setelah berada dalam kerajaan persekutuan, akhirnya rakyat di Kelantan mendapat berita baik apabila Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man, mengumumkan untuk menaik taraf infrastruktur perkhidmatan bekalan air seperti loji rawatan air, penggantian paip air bagi mengurangkan kehilangan air tidak terhasil (NRW) dan projek untuk meningkatkan liputan perkhidmatan pembentungan.

Rakyat di Kelantan akhirnya tidak lagi dianaktirikan di bawah dasar prihatin dan keterbukaan kerajaan Perikatan Nasional. Mungkin ketua pemuda pembangkang tersebut boleh bertanyakan kepada mantan menteri Pakatan Harapan sebelum ini, apakah yang dirancang untuk menyelesaikan isu air di Kelantan ketika mereka memerintah negara selama 22 bulan?

Selaku ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span), saya optimis bahawa fasa menaik taraf perkhidmatan bekalan air dilakukan secara berperingkat, merangkumi pelan jangka pendek, sederhana dan panjang. Langkah-langkah yang diambil ini bersifat secara keseluruhan dengan menyelesaikan isu pengurusan dan infrastruktur air untuk menampung keperluan bekalan air di Kelantan untuk tempoh masa 30 hingga 40 tahun akan datang.

Antara inisiatif yang sedang dilaksanakan kementerian dan operator air Kelantan, AKSB, adalah membina Loji Rawatan Air (LRA) Kg Telok, Kota Bharu, dengan anggaran pembekalan air sebanyak 30 juta liter air sehari kepada rakyat Kelantan.

Berkenaan isu air di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ), pihak operator air Kelantan, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sedang membina “dedicated pipe” yang dijangka siap pada Julai 2021. Pada masa yang sama, demi menjamin kesejahteraan rakyat dan pesakit di HRPZ II, pihak AKSB membekalkan air melalui lori tangki sebanyak enam trip sehari dengan jumlah bekalan sebanyak 48 meter padu sehari.

Beberapa projek LRA akan disiapkan pada tahun ini, termasuklah pembinaan telaga-telaga dan pembaikian paip air terawat demi menjamin kemudahan air terawat diberikan kepada rakyat Kelantan. Ini bermakna isu air di Kelantan bukan sahaja bakal diselesaikan dalam tempoh jangka pendek, malah optimis akan diselesaikan secara keseluruhan pada masa hadapan.

Adalah menjadi tanggungjawab Span untuk mengawal selia industri perkhidmatan air melalui pelaksanaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dengan adil, berkesan dan telus ke arah perkhidmatan air yang mapan, berdaya harap dan termampu untuk semua.

Sebarang maklumat mengenai perkhidmatan air di negara kita, bolehlah mengemukakan cadangan atau aduan kepada [email protected]. Maklumat semasa juga boleh didapati menerusi semua saluran komunikasi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) termasuk Twitter, Facebook, Instagram.


SHAHIR ADNAN merupakan pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Pelindungan Pengguna Span dan ahli Span.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS