Malaysiakini
SURAT

SURAT | Mansuh UPSR: Seruan buat generasi pembaharu pendidikan

Mohd Hafiz Abd Hamid

Diterbitkan
Dikemaskini 29 Mei 2021, 12:28 pagi

Pemansuhan UPSR yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan, YB Radzi Jidin dilihat telah mewujudkan dua kem yang ketara. Pada satu pihak mereka menyokongnya, pada pihak yang bertentangan pula, mereka menolaknya.

Setiap kumpulan ini pastinya ada justifikasi yang wajar diberikan perhatian. Namun demikian, kita juga boleh lihat ada satu lagi pihak memilih untuk tidak menetapkan pendirian sama ada ingin menyokong atau menolaknya.

Apa-apa pun reaksinya, saya berpandangan bahawa ada satu kelompok yang sangat penting untuk kita perhatikan dalam soal penglibatan mereka kepada pengumuman ini, sama ada mereka memilih untuk menolak, menerima atau tidak menyatakan apa-apa pendirian.

Saya perhatikan bahawa, kelompok utama yang perlu ambil perhatian dan tindakan daripada pengumuman ini adalah mahasiswa yang mengambil kursus pengajian dalam pendidikan sama ada yang baru sahaja bergraduasi atau yang masih dalam pengajian. Pada bahu mereka sebenarnya terbeban satu tanggungjawab besar untuk membentuk acuan sistem pendidikan khususnya di peringkat sekolah rendah.

Saya percaya bahawa menjelang 10 hingga 20 tahun mendatang, mereka inilah akan menjadi penggerak daya utama kepada keberhasilan sistem pendidikan kita khususnya di peringkat sekolah rendah. Di fasa ini akan menjadi ruang paling utama pembentukan karakter dan keperibadian manusia sebelum mereka menjalani pengajian di peringkat sekolah menengah dan universiti.

Sebelum pergi lebih jauh, kita perlu tanyakan kepada mahasiswa dalam pengajian ini, apakah cita-cita yang mereka imaginasikan kepada anak-anak murid di sekolah rendah sebelum mereka menginjak ke sekolah menengah? Atau dalam bahasa lain yang biasa dipakai oleh mahasiswa, apakah idealisme mereka kepada murid-murid ini?

Mempunyai cita-cita ini sangat penting dalam membentuk sikap dan pendirian mahasiswa dalam berinteraksi dengan pembentukan sistem pendidikan yang dilaksanakan oleh mana-mana pihak. Jika tidak, mahasiswa akan lolos daripada proses perubahan yang berlaku lalu menempatkan diri mereka hanya sebagai pemerhati dan pelaksana sahaja.

Cita-cita ini jika tidak jelas juga menyebabkan mahasiswa akan mempunyai masalah untuk melihat permasalahan yang ada pada sistem dan budaya semasa. Mereka akan lebih cenderung bergerak kepada status quo semasa.

Kerja rekonstruksi

Jika mereka nampak kewujudan masalah itu, tiada pula cita-cita tinggi untuk menambah baik keadaan. Lebih malang, mereka akan kekontangan idea bagaimana untuk menjadikan sekolah mencapai idealisme yang mereka idamkan.

Maka, mahasiswa dalam pengajian pendidikan perlu sedar bahawa pada hakikatnya mereka mempunyai beban tugas yang berat. Ketika berlaku keputusan besar yang akan mengubah sistem pendidikan kita seperti pengumuman pemansuhan UPSR ini, mahasiswa perlu mempunyai cara fikir pembaharu agar bersedia untuk melaksanakan kerja rekonstruksi.

Kerja rekonstruksi ini dilakukan untuk memastikan sistem pendidikan kita dapat menyelesaikan masalah yang sedang berlaku pada hari ini menjelang 10 hingga 20 tahun ke hadapan.

Mahasiswa perlu yang terawal membangun wacana yang kritis dan mendalam bagaimana untuk berinteraksi dan bereaksi kepada keputusan pemansuhan ini. Ruang kosong yang sedang ada ini perlu segera diisi dengan idea dan bahasa baru. Ia tidak patut dibiarkan untuk dibicarakan oleh orang awam sahaja.

Mahasiswa yang menggeluti secara langsung melalui kerja kursus yang disiapkan, kuliah yang dihadiri dan bahan bacaan tentang pendidikan yang sudah dicermati perlulah menjadi barisan paling hadapan mewacanakannya.

Ruang wacana itu pula tidak hanya berlegar dalam kerangka sistem semasa, tapi ia dilihat dengan ruang bebas yang bersedia untuk dicorak, diwarnakan dengan pelbagai gagasan dan idea.

Maka, cermati semula permasalahan yang berlaku sebelum ini. Lihat pula pedagogi dan falsafahnya. Binalah jaringan dan rangkaian bersama rakan-rakan mahasiswa daripada benua di luar sana - baik di Nusantara atau Asia, lebih jauh ke Timur Tengah dan Eropah - untuk berlaku perkongsian dan pertukaran idea.

Kerja-kerja sebegini penting agar dapat digilap akal fikiran mahasiswa, dikukuhkan sikap dan pendirian, dicambahkan kesedaran moral dan kepedulian sosial, diluaskan lingkungan perkenalan agar membuka lebih luas sarwa pandang mahasiswa.

Usah terperangkap dengan stigma ‘usia muda’ tidak layak untuk bercakap tentang pendidikan. Sedarlah, mahasiswa adalah generasi pembaharu, bukan lagi hanya mewarisi. Maka, binalah nilai pembaharu itu agar para mahasiswa menempati posisi penting dalam proses rekonstruksi sistem pendidikan kita. Agar nanti ketika kita menjengah tahun 2030, pendidikan negara terbangun melalui tangan dan fikiran mahasiswa.

Tinggal hanya perlukan sedikit keberanian dan kegilaan untuk melawan arus kebiasaan dan rasa keraguan, juga sedikit kesabaran untuk terus bertahan.

Mahasiswa perlu melihat bahawa tugasan mereka bukan semata hanya menjadi guru yang mendidik sahaja, tapi menjadi guru yang mengerjakan tanggungjawab sebagai intelektual yang berfungsi.


MOHD HAFIZ ABD HAMID ialah Ketua Ikram Muda, Pertubuhan Ikram Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.