Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | Kes animasi: Henti buli Amin Landak, Anna Har

Svara ingin menarik perhatian ramai dan menzahirkan rasa tidak senang terhadap tindakan intimidasi oleh pihak polis terhadap Anna Har dari Freedom Film Network (FFN) dan pelukis Amin Landak.

Pada 2 Julai 2021, pihak polis telah memanggil kedua-dua mereka ke Bukit Aman untuk disoal siasat berkaitan filem animasi yang berjudul “Chilli Powder and Thinner.”

Filem berdurasi kurang empat minit itu menceritakan kisah benar dari testimoni seorang mangsa yang mendakwa diseksa semasa berada dalam tahanan polis.

Tidak hanya berakhir dengan soal siasat, pihak polis kemudiannya mengunjungi pejabat FFN dan kediaman Amin Landak serta merampas beberapa peralatan elektronik untuk siasatan lanjut.

Ini jelas satu tindakan membuli yang bertujuan untuk mengganggu dan menakut-nakutkan warga Malaysia untuk meluah dan menyatakan pandangan kritis mereka.

Kunjungan polis ke pejabat FFN.

Kami memandang serius perkara ini dan melihatnya sebagai ancaman terhadap kebebasan bersuara dan berfikir di negara ini.

Kebebasan bersuara seluruh warga negara ini dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan

Persekutuan. Ia bukan sahaja hak asasi, tetapi sudah menjadi sebahagian daripada teras struktur yang membentuk perlembagaan yang kita junjung selama ini.

Kekesalan kami antara lainnya adalah kerana ketika seluruh warga negara ini sedang berdepan dengan segala macam himpitan akibat pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pihak berkuasa dan kerajaan yang semakin terserlah ketidakmampuannya mengendalikan situasi berkenaan tetap memilih untuk menekan dan menindas warganya sendiri dengan cara intimidasi begini.

Sedangkan, perhatian sengaja dialihkan daripada pokok permasalahan yang dibangkitkan dalam video berkenaan, iaitu tentang kes-kes kematian warga negara Malaysia ketika dalam tahanan polis masih terus berlaku tanpa sebarang tindakan tegas.

Kartunis Amin Landak.

Untuk rekod, bagi tempoh tahun 2013 hingga April 2016, seperti yang didedahkan dalam video berkenaan, seramai 721 individu dilaporkan mati ketika berada dalam tahanan polis.

Ini perkara sebenar yang memerlukan siasatan segera, dan tindakan tegas daripada kerajaan serta bagaimana untuk mengelakkan daripada kejadian seumpamanya berulang.

Bukannya menggunakan kuasa untuk menekan rakyat seperti yang ditunjukkan dalam hal ini.

Untuk menjadi sebuah negara matang dan disanjung, kuasa tidak boleh dijadikan alat untuk menindas.

Nurani dan kebijaksanaan berfikir dari semua kelompok terutama yang memegang kekuasaan perlu dilandaskan kepada undang-undang dan kebenaran. Bukan sebaliknya.

Untuk itu, Svara juga menyokong dua tuntutan bersama yang diusulkan oleh Centre for Independent Journalism (CIJ):

  1. Untuk pihak berkuasa menggugurkan semua penyiasatan dan menghentikan segala bentuk intimidasi dan tindak kekerasan terhadap Anna Har, FFN, Amin Landak, whistleblower dan semua yang terlibat dengan filem animasi berkenaan.
  2. Segera menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) tanpa lengah dan dolak-dalih, agar kebertanggungjawapan dan profesionalisme pihak polis sentiasa dijunjung.


SVARA ialah majalah sastera, seni dan budaya kontemporari Malaysia.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak sementinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS