Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | Projek lapangan terbang Kulim 'tanpa landasan'

Mari terbang ke Kulim. Yang pasti, kita akan mendarat di Alor Setar memandangkan Kulim tidak ada dan mungkin tidak akan ada lapangan terbang dalam masa terdekat.

Belakangan ini, riuh dan ripuh berita pembatalan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di bawah projek Kedah Aerotropolis.

”Kerajaan zalim! Abaikan negeri pembangkang!”

Hakikatnya, cadangan lapangan terbang tersebut dibina tanpa landasan proses dan tatacara yang tepat. KXP menelan belanja mencecah RM7 bilion.

Namun, Kementerian Pengangkutan mendedahkan bahawa permohonan rasmi untuk projek mega tersebut belum pun dikemukakan.

Gambar fail, Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor.

Malah, Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi tidak dirujuk terlebih dahulu sebelum pengumuman dibuat oleh Kerajaan Negeri.

Pendek kata, belum menang sudah bersorak dan akhirnya kampung tergadai.

Tiada permohonan, tiada perbincangan, yang ada cuma pengumuman besar-besaran.

Ini bukan landasan yang betul untuk membangunkan sesebuah projek mega. Bagaimana pesawat mahu mendarat andai lapangan terbang ini dibangunkan tanpa landasan?

Pelabur sudang terbang

Hujahan delegasi dari Kedah juga agak lemah. Kata mereka, KXP akan dibangunkan melalui pembiayaan swasta.

Pertama, sekalipun wang itu datangnya dari langit dan turun ke riba, Kerajaan Persekutuan tetap perlu dirujuk terlebih dahulu. Ini asas federalisme.

Kedua, KXP kini bukan sahaja kosong tanpa pesawat, pelabur juga sudah terbang pergi.

Cadangan pembinaan KXP dimulakan oleh ECK Group sebagai rakan strategik Kerajaan Negeri. Setakat Mei 2022, syarikat tersebut telah membatalkan penglibatan mereka.

Pelabur yang kemudiannya dikatakan bakal terlibat dalam pengurusan KXP pula ialah Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Kelmarin, beliau sendiri menghubungi Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan mengesahkan ketidaksediaan mereka untuk menjalankan projek berkenaan.

Bukan perdana menteri yang batalkan KXP, bukan juga MOF, MOT atau EPU, tetapi ECK. Syed Mokhtar pun tarik diri. Atau lebih tepat, KXP tidak pernah dibatalkan memandangkan permohonan pun belum dibuat.

Sejujurnya, Kerajaan Kedah sudah boleh berhenti berselimut dengan ECK Group sebelum ditelanjangkan di khalayak umum.

Nama ECK Group sinonim dengan banyak projek bermasalah di utara tanah air.

Projek ladang durian musang king di Hutan Simpan Gunung Inas yang dipercayai penduduk setempat sebagai punca banjir besar di Baling tahun lalu, dijalankan oleh tidak lain dan tidak bukan, ECK Group.

Mereka turut terlibat dengan projek pembangunan bawah laut Pulau Pinang yang semakin malap sinarnya di hujung terowong.

Gambar fail, projek durian Musang King di Gunung Inas.

Perdana menteri sudah berikan jaminan, sekiranya Kerajaan Kedah hadir dengan proposal mengikut tata kelola yang betul serta disokong oleh pelabur yang komited (bukan ECK), Kerajaan Persekutuan akan pertimbangkan.

Apapun, moga-moga isu berkenaan projek pembinaan KXP menjadi iktibar buat semua.

Buat Kerajaan Negeri, jangan terlebih air daripada nasi, kelak menjadi bubur.

Buat penyokong mereka, jangan terlebih sudu daripada kuah, kelak terbazir masa dan tenaga.


JOHAN MAT ialah pembaca Malaysiakini.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS