Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
SURAT | 'Gegak-gempita' petanda Amanah ke depan

SURAT | Kesempatan menyaksikan konvensyen Amanah baru-baru ini memberikan pengalaman baru pada saya. Dalam konteks politik kepartian, perhimpunan sebegitu mencerminkan budaya dan gelagat sesebuah parti politik di semua peringkat.

Sewaktu suhu politik memuncak dengan beberapa peristiwa seperti penantian pengumuman calon dalam siri PRN Sabah dan desas-desus rombakan kabinet, konvensyen Amanah kali ini tidak kurang hebat impaknya.

Terdapat beberapa peristiwa yang diingati sewaktu konvensyen berlangsung pada Sabtu dan Ahad lalu di Dewan Raja Muda, Shah Alam, Selangor.

Antaranya insiden tegang antara beberapa perwakilan pada hari kedua; tidak kurang sejam gelanggang perbahasan dibuka sehingga menjadi ‘spotlight’ para pengamal media.

Ketegangan tercetus apabila terdapat dua usul berbeza yang dibawa oleh beberapa perwakilan iaitu sama ada meneruskan pemilihan pada tahun hadapan atau menangguhkan untuk memberi laluan kepada PRU.

Pertembungan dua usul itu pada asasnya diterima sebagai cadangan. Namun, beberapa perwakilan berhasrat perkara tersebut perlu dibahaskan di konvensyen kali ini, manakala ada sebahagian menolak.

Di tengah ketegangan itu, seorang perwakilan membangkitkan kredibiliti pengerusi yang dianggap tidak jelas dalam menetapkan agenda. Tindakan pasukan Arif membawa keluar perwakilan tersebut menambah riuh dewan.

Suasana bertambah gamat ketika perbahasan usul pindaan umur sayap Wanita Muda Amanah (Warda) daripada 35 tahun ke 40 tahun, Usul itu diterima dengan ejekan beberapa perwakilan.

Lumrah buat parti politik

Apa yang berlaku mempamerkan gelagat ahli Amanah - ada yang melihat sisi positif iaitu ahli sangat kritis, lantang bersuara, dan tidak taat membuta tuli.

Namun, tidak kurang yang mengkritik cerminan ideologi Islam Rahmah yang sepatutnya menekankan adab dan akhlak mulia dalam berbeza pendapat.

Kedua indikator itu menjadi petunjuk bagaimana konflik dalaman boleh menjadi medan pembelajaran dan penilaian bagi sesebuah parti.

Apa yang boleh dipelajari?

Seperti mana parti politik lain di Malaysia, Amanah juga tidak dapat lari daripada diuji konflik dalaman. Kebebasan bersuara dalam memberi pandangan adalah jaminan supaya lebih progresif berbanding seterunya; PAS.

Ketegangan yang berlaku baru-baru ini hanyalah sebahagian kecil daripada manifestasi pertembungan pandangan yang berlaku dalam parti sudah hampir sedekad usianya.

Selain perbezaan pandangan dalam memahami prinsip Islam Rahmatan Lil Alamin, pertembungan konflik Amanah juga tidak dapat lari daripada beberapa siri perebutan jawatan lantikan politik di peringkat akar umbi.

Menjadi lumrah untuk mana-mana parti melihat lantikan sebegitu sebagai medium terbaik dalam memegang tampuk kekuasaan setempat. Soalnya, bagaimana ia diurus dan dicermati.

Sikap pilih kasih kepada kelompok tertentu wajar diketepikan dalam membina kekuatan organisasi, apatah lagi sebagai sebuah parti politik beridentitikan Islam Rahmah.

Seharusnya, budaya perbezaan pandangan diangkat dalam keadaan yang baik dengan hujah, kritikan, dan pandangan akar umbi dijadikan panduan utama berbanding dengan ejekan dan kemarahan semata-mata.

Seperti kata Mahatma Gandhi: Honest disagreement is often a good sign of progress (Perbezaan pendagan yang jujur biasanya adalah tanda kemajuan).

Mesti berlaku adil

Konvensyen semalam mengingatkan kita bahawa perbezaan pandangan bukanlah penghalang kemajuan bahkan pemangkin kepada perubahan ke arah yang lebih baik.

Dalam keriuhan konvensyen, terserlah peluang untuk demokrasi dalaman yang matang. Suara lantang akar umbi bukan setakat didengar saja tetapi memberi impak kepada hala tuju Amanah ini.

Kita diajar bahawa hikmah lahir daripada ujian, dan ujian sering muncul dalam pelbagai bentuk. Antaranya, kegentaran (dalam konteks ini adalah konflik).

Gegak gempita yang berlaku dalam konvensyen hakikatnya bukan sekadar persembahan emosi tetapi isyarat bahawa parti ini masih mampu bergerak ke hadapan dan mencari keseimbangan di antara idealisme dan realiti.

Suka saya untuk mengingatkan ungkapan Martin Luther King Jr bahawa: “True peace is not merely the absence of tension; it is the presence of justice.”

Maka, kedamaian yang sebenar tidak lahir daripada sunyi suara, tetapi keberanian menegakkan yang benar meskipun digoncang badai. Selagi teras Islam Rahmatan Lil Alamin menjadi kompas utama, maka konflik atau perbezaan pandangan akan dilihat sebagai sunatullah sebagaima firman Allah dalam ayat kelapan surah al-Maidah (bermaksud): “Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”


NIDHAL RAWA ialah ahli Jawatankuasa Pemuda Amanah Pulau Pinang dan anggota biro perkembangan bakat dan potensi negeri.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS