Minggu lalu, Amanah mengumumkan keputusan Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah bahawa parti yang berusia lebih 10 tahun itu menangguhkan pemilihan partinya bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-16.
Meskipun kenyataan ini tidak mendapat perhatian hangat oleh media massa, tetapi ahli parti Amanah memberi reaksi yang pelbagai kepada pengumuman ini.
Menurut kenyataan Setiausaha Agungnya, Muhammad Faiz Fadzil, keputusan itu dibuat agar Amanah mampu memberi tumpuan bagi menggerakkan jentera partinya sebelum PRU seterusnya tiba.
Pada masa yang sama, Amanah mahu menguasai undi majoriti masyarakat Melayu sekali gus membantu PH menerajui kerajaan persekutuan bagi penggal kedua.
Keputusan yang dibuat ini seolah-olah dianggap sebagai satu tekad Amanah untuk keluar dari belenggu yang memerangkap Amanah sehingga gagal menjadi parti pilihan utama orang Melayu dalam tempoh kewujudannya sebelum ini.

Pun begitu, adakah keputusan ini satu langkah tepat untuk Amanah menawan undi Melayu yang diidamkan itu?
Atau keputusan ini sebenarnya dilihat sebagai satu usaha sebilangan kelompok elit dalam Amanah yang mahu melindungi kedudukan mereka yang serba selesa sebagai parti pemerintah hari ini.
Apakah Amanah menyedari bahawa dalam keadaan hari ini, Amanah hilang dari radar tumpuan politik semasa?
Malah Amanah dianggap sebagai parti pelengkap kepada PH sedang penguasaan terbesar itu didominasi oleh DAP dan PKR.
Selain itu, Amanah sering dikesampingkan dalam percaturan politik semasa, memandangkan Amanah tidak mempunyai jumlah kerusi yang signifikan dalam arus semasa.
Justeru dalam keadaan jumlah kerusi Amanah yang semakin mengecil, Amanah terus terpinggir kerana tiada perkembangan yang berlaku dalam parti di akar umbinya.

Beberapa penganalisis telah melontar pandangan bahawa Amanah perlu direjuvenasi semula bukan kerana pimpinan yang ada hari ini tidak berguna, tetapi zaman kegemilangan mereka telah berlalu.
Oleh itu, Amanah memerlukan kepimpinan baharu yang lebih segar, idealisme yang lebih jelas serta mampu membawa parti ke tahap yang lebih baik dari sekarang.
Jika keadaan ini tidak berlaku, maka tidak mustahil Amanah hanya mampu memenangi dua kerusi Parlimen sahaja iaitu Shah Alam dan Kota Raja.
Adakah dengan kemenangan dua kerusi itu sahaja, Amanah boleh membantu PH?
Hakikatnya ketika itu Amanah akan menjadi seperti MIC, MCA dan Gerakan yang berlaku hari ini.
Apa yang perlu dilakukan oleh akar umbi Amanah sekarang adalah mengusulkan sebuah rejuvenasi dalam parti tanpa adanya pemilihan parti.
Amanah boleh memanggil kesemua 27 orang pemimpin yang memenangi pemilihan parti tahun 2023 dahulu dan menjemput speaker parti untuk mengadakan satu mesyuarat khas untuk memilih semula seorang presiden, seorang timbalan presiden dan dua orang naib presiden yang baharu.
Tanpa konvensyen luar biasa parti, Amanah boleh menukar kepimpinan sedia ada kepada kepimpinan baharu yang dilihat mampu membawa parti ke tahap yang lebih baik.
Pemegang kerusi menteri dan timbalan menteri yang sedia ada boleh kekal dengan kedudukan masing-masing sambil membantu parti, manakala mereka yang terpilih mengemudi parti selepas mesyuarat khas itu merencana perancangan untuk mengukuhkan dan memposisikan semula Amanah dalam masyarakat.
Syaratnya ia mesti datang dari permintaan akar umbi parti yang mahu proses peralihan kepimpinan ini berjalan.
Bukannya desakan meremajakan Amanah ini baru berbangkit hari ini, ia telah pun berbangkit menjelang pemilihan parti 2023 yang lalu.
Dalam keadaan itu, penyandang jawatan sedia ada berunding untuk diberi peluang sekali lagi dengan ruang proses transformasi parti berjalan seiring.
Walaupun begitu, sejak 2023 tempoh telah diberikan buat kepimpinan parti melaksanakan perubahan tersebut. Tetapi hasilnya masih mendukacitakan.
Oleh yang demikian, peralihan kepimpinan perlu berlaku sekarang meskipun keputusan menangguhkan pemilihan telah dibuat.
Setakat mana JKP Amanah mengukur sentimen akar umbi tentang pemilihan parti masih belum dinyatakan, namun akar umbi Amanah boleh menyuarakan pandangan untuk rejuvenasi parti dilakukan segera melalui peralihan kepimpinan dengan menyatakan suara mereka melalui mesyuarat tahunan kawasan masing-masing.
Untuk menguatkan parti, Amanah perlu mendengar suara akar umbi dan bukan menafikannya.
Dengan cara itu, sekurang-kurangnya Amanah mempunyai tawaran baharu yang boleh diusahakan untuk menambat sokongan pengundi baru berbanding kedudukan yang lesu dan lemah Parti Amanah Negara.
ABDUL JALIL IBNU adalah pemerhati dan penulis politik.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
