Salam sejahtera diucapkan kepada tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.

Terlebih dahulu, sekalung tahniah bagi penyempurnaan Muktamar Tahunan ke-72 serta perayaan Ulang Tahun ke-75 penubuhan PAS yang telah dilaksanakan dengan jayanya.

Saya memohon izin untuk merujuk kepada ucapan dasar presiden PAS yang bertunjangkan tema Muktamar iaitu "Penyelesaian Islam mengisi kemenangan" pada 5 September 2026 yang lalu.

Setelah meneliti segala hujah yang telah dibangkitkan mengenai "Agenda mengisi kemenangan" dan "Agenda bertindak menujo PRU16", saya ingin memohon jasa baik pucuk pimpinan PAS untuk memberikan penjelasan berkenaan satu soalan pokok yang saya kira amat penting dalam konteks pemerintahan negara kita yang tercinta.

Saya membangkitkan soalan ini berdasarkan andaian sekiranya PAS membentuk Kerajaan Persekutuan selepas PRU16. Soalan saya adalah seperti berikut:

Perlembagaan Persekutuan 1963

Adakah Perlembagaan Persekutuan yang sedia ada akan terus berkuat kuasa sebagai undang-undang tertinggi negara?

1.1. Jika ya, apakah cadangan pindaan supaya selaras dengan "Tujuan PAS" yang terkandung dalam Fasal 5(1) Perlembagaan parti PAS?

Fasal tersebut menyebut:

Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredaan Allah.

1.2. Jika tidak, adakah satu Perlembagaan Persekutuan baru akan digubal dan akan diedarkan untuk tatapan dan input daripada warganegara?

Saya memohon dan berharap agar pimpinan PAS dapat memberikan jawapan kepada soalan saya secara terbuka dan telus supaya pendirian parti ini dapat diketahui dengan jelas oleh semua rakyat yang layak mengundi pada PRU16.

Segala jawapan oleh pihak pucuk pimpinan PAS didahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

Yang benar,

Jayanath Appudurai

Anak Bangsa Malaysia