SURAT | Benarkah Umno kehilangan undi Melayu kerana isu N Sembilan?
SURAT | Pada pandangan saya, kemelut Negeri Sembilan ini tidak semestinya memberi kesan besar kepada undi Umno. Saya melihat kesannya mungkin kecil, sekurang-kurangnya dalam jangka pendek.
Sebabnya mudah. Umno masih mempunyai kelompok pengundi Melayu yang sangat tegar. Bagi kelompok itu, hubungan dengan Umno bukan semata-mata berdasarkan satu isu atau satu keputusan politik.
Ia terbina daripada sejarah, keluarga, kawasan, identiti dan pengalaman puluhan tahun.
Jadi, saya tidak menjangka mereka akan meninggalkan Umno hanya kerana episod Negeri Sembilan.
Tetapi ada satu kelompok yang saya fikir perlu diberi perhatian oleh Umno: kumpulan M40 Melayu yang berpendidikan lebih tinggi dan lebih terdedah kepada maklumat.
Kelompok terbabit mungkin tidak lagi melihat politik hanya melalui lensa siapa Melayu dan siapa bukan Melayu. Mereka juga boleh bertanya soal ketekalan, institusi, perlembagaan, tadbir urus dan integriti.
Di situlah kemelut Negeri Sembilan boleh menjadi masalah kepada Umno.
Bukan kerana mereka semestinya akan terus berpindah kepada parti tertentu, tetapi kerana mereka boleh memilih untuk tidak mengundi Umno, menjadi pengundi atas pagar atau sekadar tidak keluar mengundi.
Dan dalam pilihan raya, kehilangan undi tidak semestinya berlaku melalui penghijrahan. Kadangkala ia berlaku melalui diam.
Bagi kumpulan B40 pula, saya melihat isu ini mungkin kurang dominan berbanding tekanan ekonomi. Kos sara hidup, pekerjaan, harga barang, bantuan kerajaan, perumahan dan pendapatan keluarga lebih dekat dengan kehidupan seharian.
Ini tidak bermakna B40 tidak peduli kepada institusi raja.
Mereka peduli. Tetapi apabila seseorang sedang memikirkan bagaimana hendak membayar sewa, membeli barang dapur atau menampung persekolahan anak, isu institusi mungkin tidak menjadi faktor pertama yang dipertimbangkan ketika memilih calon.
Kelompok T20 pula lebih kompleks.
Saya tidak fikir wajar menganggap T20 tidak peduli kepada institusi raja. Tetapi bagi sebahagian kelompok berkenaan – khususnya yang berpendidikan dan berpendapatan tinggi – isu ekonomi, kestabilan dasar, peluang perniagaan, cukai, pelaburan dan masa depan negara mungkin lebih menentukan keputusan politik.
Maka saya melihat kesannya bukan dalam bentuk satu gelombang besar “Melayu menolak Umno”.
Lebih tepat jika kita katakan: ia berpotensi menghakis keyakinan di pinggir penyokong Umno, terutama M40 yang lebih berpendidikan, tetapi belum tentu menggugat teras pengundi tegar parti.
Dan di situlah Umno perlu berhati-hati.
PRU ke-16 mungkin bukan sekadar pertandingan mendapatkan penyokong.
Ia mungkin pertandingan untuk memastikan penyokong sendiri masih mempunyai sebab untuk keluar mengundi.
Bagi saya, cabaran terbesar Umno bukan kehilangan penyokong tegar. Cabaran sebenar ialah pengundi yang dahulu berkata “saya orang Umno”, tetapi kini mula berkata “saya tengok dulu”.
Dalam pilihan raya, jarak antara dua ayat itu mungkin nampak kecil. Tetapi kadangkala, itulah jarak antara menang dan kalah.
AHMAD ZAHARUDDIN SANI ialah perunding kanan di Asia Global Consulting dan mantan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/hamidi1_329785.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.