Merujuk kepada tulisan bertajuk 'Pandangan diberi seperti budak-budak' (Nov 5) oleh Granma, saya amat tidak faham kenapa beliau menghentam Presiden PAS, Dato' Hj Fadzil Noor di atas kenyataannya yang membidas Pengerusi Suhakam, Tan Sri Musa Hitam.

Sekiranya penulis membaca teks kenyataan Presiden PAS tersebut, jelas sekali bahawa kecaman tersebut bukanlah kerana ianya memihak kepada mana-mana parti politik, tetapi kerana adalah amat tidak wajar seorang pengerusi Suhakam membuat kenyataan yang memperkecilkan soal hak asasi manusia. Malah, Mehrun Siraj yang juga sebagai pesuruhjaya Suhakam turut mengkritik kenyataan Musa.

Juga sokongan PAS terhadap laporan Suhakam berkenaan kekasaran pihak polis di dalam menyuraikan perhimpunan di Lebuhraya Kesas bukanlah kerana ianya memihak kepada mana-mana parti politik, tetapi kerana ianya selaras dengan perjuangan menegakkan hak asasi manusia yang sememangnya menjadi tanggungjawab Suhakam.

Yang sebenarnya bersifat kebudak-budakan ialah mereka yang memberi komen berdasarkan semata-mata kepada laporan akhbar tanpa merujuk kepada fakta yang sebenar.