kemaskini 8.08pm Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Utusan Melayu (M) Bhd bersiap sedia meneruskan hasratnya untuk berpiket di perhimpunan agung Umno selepas gagal dalam rundingan dengan majikan.

Pengerusi NUJ Utusan, Amran Ahmad memberitahu Malaysiakini hari ini, kesatuan itu ke balai polis Sentul petang ini untuk memohon permit berpiket, yang dijadual diadakan di penghujung perhimpunan parti itu, Sabtu ini.

Keputusan untuk memohon permit dibuat dalam mesyuarat exco kesatuan kira-kira sejam petang ini.

Bagaimanapun, Amran bersama beberapa exco kesatuan itu dimaklumkan bahawa permohonon itu seharusnya dibuat di balai polis Dang Wangi kerana bangunan Umno - tempat berlangsung pertemuan tahunan tersebut - berada dalam bidang kuasa polis daerah itu.

Mereka akan ke ibu pejabat polis daerah Dang Wangi jam 11 pagi esok selepas tidak sempat berbuat demikian kerana pejabat pentadbiran balai polis itu telah tutup.

Amran menambah, majikannya "sengaja melengah-lengahkan" rundingan berhubung perjanjian bersama (CA) untuk, antaranya, pelarasan gaji sebanyak 10 peratus, kenaikan gaji tahunan RM5, tambahan elaun kenderaan sebanyak RM50 dan pengekalan faedah-faedah lain yang terkandung dalam CA itu.

"Syarikat sengaja melengah-lengahkan masa, tidak mahu berunding sebelum perhimpunan agung Umno," katanya.

Rundingan CA selama tiga tahun hingga 2011 NUJ Utusan itu adalah sambungan kepada CA lama yang telah tamat pada 31 Julai tahun lepas.

NUJ Utusan mewakili hampir 300 ahli yang terdiri daripada wartawan, jurugambar dan artis grafik yang menjadi nadi jabatan pengarang akhbar-akhbar keluaran kumpulan Utusan, Utusan Malaysia , Mingguan Malaysia dan Kosmo! .

Amran berkata selain sokongan ahli-ahlinya, wartawan-wartawan akhbar lain dijangka akan turut serta menyatakan sokongan pada perjuangan mereka dalam piket tersebut.

"Kita harap Umno tolong kita, tolong wartawan Utusan. Kita selalu tolong mereka," katanya ketika dihubungi.

Keputusan berpiket dibuat oleh majoriti ahli exco kesatuan dalam mesyuarat mereka pada 11 Mac lalu bagi memberitahu Umno, sebagai pemilik syarikat, mengenai masalah wartawan akhbarnya.

"Kesatuan merasakan rundingan antara majikan Utusan dengan kesatuan tidak akan membolehkan kakitangan menikmati hak dan kebajikan yang setaraf dengan industri, justeru campur tangan pemilik Umno perlu bagi membantu kesatuan," kata Amran minggu lepas.

"Sebelum ini, kami telah menghantar surat kepada presiden Umno, timbalan presiden Umno serta beberapa menteri dari Umno tetapi tidak mendapat maklum balas dan piket ini adalah medan komunikasi yang berkesan untuk menyuarakan masalah kami."