BERITA

Mahu jumpa tapi pilih bubar DUN

Abdul Rahim Sabri

Diterbitkan
Dikemaskini 15 Mei 2009, 3:23 pagi

kemaskini 6.34pm Pakatan Rakyat sepakat menyatakan kesediaan bertemu Datuk Seri Najib Razak demi mengukuhkan demokrasi dan institusi kerajaan dalam mencari penyelesaian kemelut politik Perak.

Bagaimanapun mereka juga percaya langkah terbaik adalah melalui pembubaran DUN dan pilihanraya semula peringkat negeri seperti disarankan oleh beberapa pihak, termasuk ahli politik BN dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

"Pakatan Rakyat mengambil sikap terbuka dan bersedia untuk bertemu dengan perdana menteri untuk memperkukuh demokrasi dan institusi kerajaan Perak.

"Kami dari Pakatan Rakyat ingin mengulangi pendirian bahawa mandat seharusnya dikembalikan kepada rakyat negeri Perak untuk menentukan kerajaan yang sah,” kata ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kami mengambil maklum bahawa terdapat badan-badan dan individu seperti Suhakam, Majlis Peguam, ahli akademik, pemimpin, termasuk daripada komponen BN, yang dipertua Dewan Negara, dan pelbagai pihak lain.

“(Mereka) berpandangan bahawa penyelesaian terbaik bagi masalah Perak adalah dengan membubarkan DUN bagi membolehkan pilihanraya baru diadakan."

Anwar menjelaskan pendirian rasmi pembangkang selepas mesyuarat majlis pimpinan Pakatan Rakyat di ibu pejabat PAS, Kuala Lumpur petang ini.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tokoh utama DAP Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa dan Timbalan Presiden PKR Syed Husin Ali turut hadir di sidang media tersebut.

Dua pemimpin kanan kerajaan Pakatan di Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Datuk Ngeh Ko Ham duduk di kiri Anwar di bilik mesyuarat tersebut.

Abdul Hadi turut menyokong saranan agar pilihanraya di peringkat negeri diadakan bagi menyelesaikan perebutan kuasa BN-Pakatan di Perak.

"Dan sekarang sudah ada pandangan daripada semua pihak bukan sahaja dari pihak PAS, PKR dan DAP, tetapi termasuk juga dari kalangan akademik dan termasuk kalangan Umno. Gerakan sendiri sudah membuat kenyataan terbuka (untuk mengadakan pilihanraya).

"Oleh itu sudah menjadi pandangan majoriti, dari segi mafhumnya, kembalikan kepada rakyat untuk menyelasaikan krisis ini. Kalau tidak ia akan menjadi berlarutan," katanya.

Diminta mengulas perbezaan pendirian Pakatan itu dan Najib yang enggan membubarkan DUN, Anwar berkata:

"Kita bersedia untuk mendengar. Kita beri pandangan kita. Kalau beliau nak bagi pandangan, kita dengarlah. Lepas kita jumpa (dengan Najib), kita beritahu."

Mesyuarat lebih sejam tersebut bermula kira-kira 2.30 petang.

Pada sebelah pagi, di tempat yang sama, lajnah politik PAS mengadakan mesyuarat, termasuk membincangkan kemelut politik negeri tersebut yang berlarutan sejak Februari lalu.

Pertemuan yang diketuai Abdul Hadi memakan masa lebih dua jam sejak 10 pagi dan dihadiri lebih kurang 20 anggota, termasuk barisan pemimpin kanan parti tersebut.

Seorang anggota lajnah tersebut Khalid Samad memberitahu Malaysiakini , perbincangan isu Perak bagi menyelaraskan pendirian PAS sebelum mesyuarat Pakatan Rakyat.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas butiran sikap PAS yang diputuskan dalam biro tersebut.

Perdana menteri hari ini mengulangi kesediaannya itu dengan menyatakan Pakatan Rakyat tidak wajar meletakkan sebarang syarat untuk menjayakan cadangan tersebut.

Dalam kenyataan awalnya hari ini, Lim berkata perdana menteri wajar memanggil "sidang puncak" dengan pemimpin Pakatan Rakyat untuk meredakan krisis tersebut - yang mencemarkan beberapa institusi penting negara dan merosakkan imej negara di mata dunia.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri satu forum umum di Petaling Jaya malam tadi, tokoh popular DAP itu berkata krisis Perak bukan suatu isu peringkat negeri semata-mata.

Sebaliknya, tambah beliau, ia adalah krisis yang menggambarkan perlembagaan dan institusi negara.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.