BERITA

PAS makin serius tarik bukan Islam

Abdul Rahim Sabri

Diterbitkan
Dikemaskini 25 Mei 2009, 11:31 tengahari

PAS mengorak selangkah lagi dalam usaha menggalakkan penyertaan bukan Islam dalam satu sayap utama – seperti Dewan Pemuda – dengan menganjurkan konvensyen Kelab Penyokong PAS (KPP).

Program anjuran lajnah perpaduan antara lain bertujuan mengumpul syor daripada pemimpin akar umbi KPP sebagai usaha untuk menjadikan KPP menjadi sebuah dewan.

"Saya berharap mereka dapat memberi cadangan dan resolusi (konvensyen) akan dibawa kepada jawatankuasa PAS (untuk pertimbangan)," kata timbalan pengerusi biro tersebut Dr Halimah Ali.

pas for all campaign launch 110907 indian tabla Bercakap di sidang media hari ini bagi mengumumkan program tersebut, beliau berkata ia dijadual diadakan di sebuah dewan di Pejabat Tanah Klang, Sabtu ini.

Perasmiannya disempurnakan oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat jam 8 pagi.

Kira-kira 500 pemimpin bukan Islam di peringkat kawasan akan diberikan taklimat perkembangan terbaru usaha PAS memajukan KPP dan perbahasan bertemakan "Berdiri Teguh Menempuh Cabaran".

Satu jawatankuasa khas dibentuk bulan lalu untuk meneliti lebih serius pembabitan ahli bukan Islam dalam PAS selepas permukiman parti itu November lalu meluluskan usaha menaik taraf KPP.

Walaupun dibentuk sejak 2004, langkah terbaru ini dibuat susulan penerimaan positif penyokong bukan Islam terhadap parti itu, kata Dr Halimah, yang juga exco kerajaan Selangor.

Jawatankuasa teknikal yang diketuai bekas timbalan presiden PAS Hassan Shukri ditubuhkan untuk mengkaji kemungkinan meminda perlembagaan parti dan ia mengambil masa antara tiga hingga enam bulan sebelum rumusan dicapai.

Kira-kira 30,000 ahli bukan Islam menyertai kelab tersebut.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.