Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DAP pandang serius desakan haramkan SIS
Diterbitkan:  Jun 8, 2009 12:06 PM
Dikemaskini: 4:37 AM

DAP memandang serius terhadap usul yang diluluskan oleh muktamar PAS semalam untuk mendesak kerajaan supaya mengharamkan pertubuhan Sisters in Islam (SIS).

Usul yang dibawa PAS Shah Alam dan diterima tanpa bahas itu, mendesak kerajaan mengharamkan SIS jika benar siasatan mendapati NGO itu mengancam akidah umat Islam.

eli wong back to work160409 teresa kok 01 "Sebagai rakan Pakatan Rakyat, PAS sepatutnya berpegang kepada prinsip demokrasi, kebebasan bersuara dan kebebasan berpersatuan yang kita perjuangkan bersama," kata Setiausaha Organisasi DAP, Teresa Kok yang juga ahli parlimen Seputeh.

Dalam satu kenyataan, Teresa berkata sikap mahu mengharamkan sesuatu adalah sifat Umno dan BN yang patut ditolak kerana ia bertentangan dengan hak asasi manusia serta melanggar hak-hak kebebasan sejagat.

"SIS bebas bersuara dan jika mana-mana pihak tidak bersetuju dengan pendiriannya, maka perlu dibahas secara sopan dan terbuka.

"Jika mana-mana pihak mahu mengharamkan SIS atau organisasi yang berbeza dengannya, ia adalah sifat kuku besi yang tidak harus menjadi budaya kita," katanya

Oleh itu, Teresa berharap PAS dapat berpegang teguh dengan janji dan amanah Pakatan Rakyat untuk memastikan hak dan kebebasan rakyat pelbagai pandangan di negara ini dijamin dan dilindungi.

pas muktamar 55 general assembly 060609 01 Semua pihak, tambahnya, menghormati Islam sebagai agama rasmi di negeri ini.

"Pada masa yang sama, Islam sendiri bersifat terbuka dengan menerima perbezaan pendapat yang boleh dibincang, dihujah atau dicari jalan penyelesaian melalui rundingan dan dialog.

"Selama ini, kita semua berjuang untuk menghapuskan kezaliman dan ketidakadilan Umno dan BN.

"Kita tidak harus meniru sikap mereka yang tidak dapat menerima pandangan orang lain dan hanya tahu menggunakan kuasa untuk menutup mulut orang yang berbeza pendapat," tambahnya.

ADS