Universiti Malaya (UM) belum memecat dua pelajarnya yang dituduh di mahkamah atas dakwaan menconteng dinding dewan dan menyimbah petrol di permaidani, minggu lalu.

Universiti itu sedang menunggu maklumat lanjut daripada mahkamah sebelum memutuskan tindakan seterusnya, kata satu sumber pentadbiran UM.

"Tidak ada keputusan lagi. Kita tunggu surat rasmi daripada mahkamah," kata sumber kepada Malaysiakini .

Katanya, menurut Seksyen 15 Akta Univeristi dan Kolej Universiti (AUKU), tindakan tatatertib seperti membuang atau menggantung pengajian terserah pada budi bicara naib canselor.

Sumber itu "tidak tahu-menahu" apabila diminta mengulas laman web Mahasiswakini yang mendakwa kedua-dua pelajar tersebut Mohd Izzuddin Hilmi dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli "akan digantung pengajian".

Laman web tersebut memetik kenyataan lisan yang didakwa dikeluarkan oleh penasihat undang-undang Hal Ehwal Pelajar UM Thanavathi K Krisnan petang semalam.

Kelmarin, dua pelajar Akademi Pengajian Islam (API) itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menurut Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat yang menyebabkan kerosakan sekurang-kurangnya RM25.

Mereka berdua, bersama tiga pelajar lagi, dituduh menconteng beberapa perkataan di dinding dewan kuliah utama API, 24 Jun lalu, antaranya "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya".

Kedua-dua tertuduh juga didakwa menyimbah petrol di permaidani yang bakal dilalui isteri perdana menteri Rosmah Mansor untuk menghadiri satu program di situ beberapa jam selepas kejadian jam 4 pagi itu.

Mohd Izzuddin dan Mohd Syahruldeen juga dituduh bawah Seksyen 436 kanun yang sama iaitu kesalahan khianat dengan api atau benda letupan dengan niat merosakkan harta benda.

Seksyen 427 membawa hukuman dua tahun penjara, sementara Seksyen 436 mengakibatkan maksimum 20 tahun penjara. Kesalahan itu juga boleh didenda, jika disabitkan.

Kedua-duanya dibebaskan semalam selepas diikat jamin RM5,500.

Kes mereka akan disebut semula pada 13 Julai ini.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini