Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Daftar pengundi: Kempen terbaru PAS Melaka masih diganggu

Pemuda PAS Melaka akan meneruskan kempen pendaftaran pemilih di negeri itu walaupun dua kempen terbarunya di Batu Berendam masih diganggu sekumpulan lelaki yang tidak dikenali, kata kata Ketua Penerangan PAS Melaka, Sofi Wahab.

Katanya, dua kempen terbaru pendaftaran pemilih itu diadakan di kawasan pasar malam di Taman Merdeka dan Taman Bukit Baru, Selasa lalu.

Sofi berkata, kumpulan tersebut datang ke meja mereka dan mengarahkan mereka menghenti kempen daftar pemilih di situ.

Bagaimanapun, katanya, mereka tidak mengenali kumpulan tersebut kerana mereka tidak memperkenalkan diri dan beliau juga tidak pasti sama ada mereka daripada Pemuda Umno.

"Kami mematuhi arahan mereka dan menghentikan kempen tersebut bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Minggu lalu, kekecohan berlaku apabila Pemuda Umno dilaporkan menghalang Pemuda PAS dan DAP daripada menjalankan kempen pendaftaran pemilih di pasar malam Taman Melaka Baru.

Dapat permit polis

Dalam kejadian tersebut sebuah meja pecah dan ADUN Ayer Keroh Khoo Poay Tiong mengalami kecederaan di kedua-dua lututnya.

Ekoran itu Pemuda PAS dan DAP telah membuat lapan laporan polis di Bandar Kaba, manakala sdeorang ahli Pemuda Umno ditahan di balai polis Batu Berendam selama lapan jam.

"Kami dilantik oleh suruhanjaya pilihanraya (SPR) untuk menjalankan kempen tersebut dan diberi kad kuasa untuk berbuat demikian.

"Saya rasa semua parti politik termasuk Umno mendapat kebenaran untuk menjalankan kempen tersebut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sofi berkata, kempen pendaftaran pemilih di tempat terbuka tidak pernah mendapat bantahan dari orang ramai melainkan dari ahli Pemuda Umno.

‘Saya hairan orang lain tidak ganggu tetapi Pemuda Umno yang sibuk. Mereka tahu kami gunakan sebuah meja kecil dan tidak mengganggu orang ramai," katanya.

Menurut Sofi, pihaknya tidak memerlukan permit polis kerana telah mendapat kebenaran SPR untuk pendaftaran pemilih.

Katanya, sehingga ini kira-kira 1,000 pengundi baru telah membuat pendaftaran pemilih yang dibuat oleh Pemuda PAS dengan Pemuda DAP Melaka.

ADS