Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua pembangkang DUN Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo akan menjelajah ke seluruh negeri itu bagi menjelaskan kepada semua 22 bahagian Umno berhubung penggantungannya daripada menghadiri sidang DUN selama setahun, berkuatkuasa semalam.

Penjelajahan tersebut akan bermula malam esok di bahagian Hulu Langat, kata bekas menteri besar Selangor itu.

"Saya akan ke bahagian-bahagian di Selangor untuk menyatakan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat Selangor juga tidak bersih dan takut di tegur oleh BN.

"Saya harap rakyat akan dapat terima penjelasan saya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Beliau berkata, sekiranya penggantungannya itu bertujuan untuk "menutup mulutnya", maka ia adalah satu kesilapan.

"Saya akan menjalankan tanggungjawab saya," katanya.

Dalam majlis di Hulu Langat malam esok, Khir berkata beliau akan mendedahkan kelemahan Pakatan Rakyat di Selangor menunaikan janji-janji kepada rakyat.

Elaun dipotong

Semalam, DUN meluluskan usul menggantung Khir Toyo dan empat lagi ADUN BN, berkuatkuasa serta merta.

Khir digantung selama setahun manakala yang lainnya digantung selama enam bulan dan elaun mereka turut dipotong.

NONE Mereka ialah Datuk Marsum Paing (Dengkil), Datuk Warno Dogol (Sabak), Mohd Isa Abu Kasim (Batang Kali) dan Datuk Mohamed Idris Abu Bakr (Hulu Bernam).

Tindakan itu diambil ekoran kegagalan Khir menghadiri pendengaran awam Jawatan Kuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT)) mengenai Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor (BALKIS).

Manakala empat itu digantung kerana didapati bersalah menghina SELCAT di media.

Semalam juga, Khir mengetuai 17 ADUN BN bertindak keluar dewan kerana membantah usul tersebut.

'Ada usaha memalukan saya'

Sementara itu, Khir mendakwa pendengaran awam yang dijalankan oleh SELCAT terhadapnya "telah diatur".

"Mereka memanggil semua musuh saya. Mana ada musuh puji musuhnya. Itu bukan pendengaran, tetapi untuk malukan orang lain.

"Sepatutnya lantik jawatankuasa bebas yang boleh mengadili siasatan. Ini tidak Speaker tuduh, (kemudian) siasat, dia jadi hakim kemudian dia yang hukum. Mana ada keadilan," katanya.

Khir juga mendakwa arahan supaya beliau menghadiri pendengaran awam itu dibuat atas nama BALKIS, sedangkan beliau bukan ahli pertubuhan tersebut.

Oleh kerana itu, katanya, beliau tidak perlu menghadirinya.

Mengulas tindakannya serta ADUN BN keluar dewan semalam, Khir berkata, mereka berbuat demikian kerana menyedari ada usaha untuk memalukannya.

"Iaitu tindakan untuk 'boo' saya. Oleh itu, saya ambil keputusan, lebih baik saya keluar dahulu. Tindakan terhadap saya telah ditetapkan.

"Keputusan terhadap saya telah dibuat. Saya dah tahu tindakan mereka," katanya sambil menambah, ADUN Seri Serdang, Datuk Satim Diman akan menggantikannya sebagai ketua pembangkang sepanjang tempoh penggantungannya itu.

ADS