BERITA

Suspek kes 'puaka' UM disoal isu Teoh

Abdul Rahim Sabri

Diterbitkan
Dikemaskini 24 Jul 2009, 10:48 pagi

kemaskini 1.55pm Seorang pemimpin mahasiswa Universiti Malaya, yang disiasat kes contengan "bini puaka" dan cubaan membakar di sebuah dewan kampus itu, ditanya berhubung punca kematian Teoh Beng Hock.

Shazni Munir Mohd Ithnin, dalam aduannya kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pagi ini, berkata beliau juga disoal berhubung perhimpunan besar-besaran membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1 Ogos ini.

shazni-munir-mohd-ithnin Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM, yang ditahan reman selama tiga hari sejak 17 Julai lalu, juga diminta mengulas gagasan "1Malaysia" yang dipromosikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Saya difahamkan penahanan saya untuk membantu siasatan berhubung contengan anti-Rosmah.

"Tetapi soalan yang ditanya tidak menjurus kepada isu contengan, sebaliknya berhubung persepsi dan pandangan saya tentang isu semasa.

"Ia satu tindakan yang tidak wajar, menyebabkan saya berasa teragak-agak untuk memberi kerjasama dengan pihak polis," katanya.

Difahamkan Shazni Munir, antara tiga pelajar Akademi Pengajian Islam (API) yang dicari polis sejak insiden di dewan kuliah utama akademi itu 24 Jun lepas, akan diseret ke mahkamah awal minggu depan.

Dua lagi suspek gagal dijejak oleh polis, sementara Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli dan Mohd Izzuddin Hilmi Mohamad Zaini akan dibicarakan 7 Disember depan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berkaitan kes tersebut.

Kedua-duanya dituduh mengikut Seksyan 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan berhubung insiden awal pagi Rabu itu, beberapa jam sebelum isteri perdana menteri Rosmah Mansor hadir untuk satu program di dewan berkenaan.

Mereka, pelajar tahun dua jurusan syariah API, juga didakwa cuba melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan api di pintu dewan kuliah utama akademi tersebut.

Shazni Munir menyampaikan aduan lisannya di depan Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Siva Subramaniam di pejabatnya di Jalan Raja Laut.

Pelajar itu kemudiannya diminta menyampaikan aduannya secara bertulis selewat-lewatnya Selasa ini supaya tindakan lanjut dapat diambil.

Pelajar yang berasal dari Segamat itu juga mendakwa sewaktu disoal siasat, beliau turut diberi amaran supaya menghentikan kegiatan aktivisme mahasiswa.

"Jika tidak berhenti dalam aktivisme, ada cadangan untuk meng-ISA-kan saya," katanya.

Sebelum itu, beberapa kumpulan mahasiswa menyerahkan memorandum kepada Suhakam berhubung isu tersebut dan dua lagi insiden yang melibatkan mahasiswa baru-baru ini.

Kumpulan tersebut diketuai oleh Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) Hilman Idham.

Beliau turut disertai oleh PMIUM, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema).

Dalam memorandum tersebut, exco PMIUM, Mohd Shafie Hashim berkata tindakan polis menunjukkan pistol kepada Mohd Syahruldeen sewaktu mahu menahannya sebagai "tidak wajar dan menyalahi undang-undang dan etika polis" ketika bertugas.

"Penahanan mereka juga tidak dimaklumkan kepada pihak keluarga. Hal ini dianggap sebagai penafian hak seseorang tahanan untuk mendapatkan keadilan dan pembelaan sewajarnya," katanya.

Seorang anggota polis yang berpakaian biasa, tanpa menunjukkan kad kuasanya dan juga waran tangkap, didakwa menayangkan senjata apinya yang terselit di pinggang sewaktu menahan pelajar tahun dua itu di rumah sewanya di Jalan Pantai Permai berdekatan Kampung Kerinchi, 25 Jun lalu.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.