Pembangkang akan melancarkan kempen ke seluruh negara bagi menjelaskan isu penyalahan guna wang rakyat oleh pemimpin tertentu dalam kerajaan.

Sebuah kumpulan yang dikenali 'Jawatankuasa Selamatkan Wang Rakyat' (Juwara) yang ditubuhkan oleh pergerakan Pemuda Barisan Alternatif akan dilancarkan di Taman Melewar, Gombak jam 9 malam Jumaat ini.

Jawatankuasa itu bercadang menggunakan dua pendekatan iaitu laporan polis dan road show (jelajah dan penerangan) di seluruh negara bermula di Johor pada 3 Mac, Kelantan 11 Mac, Kedah 14 Mac, Pahang 23 Mac, Negeri Sembilan 28 Mac, Perak 1 April dan Selangor 3 April tahun ini.

Bagi acara kemuncak kempen tersebut, Juwara bercadang menyerahkan beramai-ramai memorandum kepada Kementerian Kewangan berhubung isu pembelian saham syarikat penerbangan MAS pada 6 April depan.

"Juwara digagaskan untuk menyedarkan rakyat tentang hak mereka yang telah dirompak oleh pemimpin kerajaan Barisan Nasional," kata Ketua Pemuda PAS yang juga bertindak sebagai pengerusi Juwara, Mahfuz Omar, kepada malaysiakini hari ini.

Juwara sebelum ini digerakkan oleh Pemuda PAS dengan kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum pilihanraya umum November 1999.

Mahfuz menegaskan rakyat perlu sedar penyelewengan dana awam yang digunakan untuk membantu syarikat-syarikat gergasi yang rapat dengan pemimpin kerajaan dan juga terlibat dalam pelaburan yang berisiko tinggi.

Sementara itu Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional, Mohamad Ezam Mohd Nor dipanggil bagi memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam pada Jumaat ini berhubung satu laporan polis yang dibuat pada 27 Januari lalu.

Ezam dan Mahfuz pernah membuat laporan polis berhubung dakwaan salah laku Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin dalam pembelian kembali saham MAS daripada Tan Sri Tajuddin Ramli.