Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa pihak berkuasa supaya menyiasat kenyataan pemimpin parti pembangkang yang didakwa menghina kaum dan agama lain sehingga boleh menyebabkan ketegangan antara kaum.

najib tun razak 220509 "Dalam apa-apa pun, kita ada undang-undang, dan salah satu daripadanya adalah undang-undang hasutan. Dan hasutan ini bukan sahaja menghala kepada kepada Islam, tetapi semua agama dan kaum dalam negara kita.

"Kalau kita menghina yang boleh menyebabkan ketegangan kaum, maka tindakan boleh diambil mengikut undang-undang hasutan di negara kita," kata Najib selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Teringgi BN di ibunegara hari ini.

"Dan saya berharap pihak berkuasa akan menyiasat dan sekiranya didapati ada kesalahan yang boleh disabitkan di bawah undang-undang ini, maka tindakan perlu diambil kepada sesiapa pun yang melakukan perkara yang boleh dikaitkan dengan perbuatan hasutan," katanya.

Beliau diminta mengulas kenyataan ketua Pemuda DAP Anthony Loke yang didakwa menghina Islam. Beliau bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya menghina Islam dan Sultan Perak.

Najib yang juga pengerusi BN berkata, beliau belum melihat tulisan dalam blog tersebut tetapi siasatan harus berdasarkan laporan dan tindakan yang akan diambil sekiranya mempunyai asas.

Pindaan perlembagaan

Mengenai keputusan Umno Bukit Mertajam menolak pindaaan perlembagaan Umno yang didakwanya dibuat secara tergesa-gesa, Mohd Najib berkata:

"Tidak tergesa-gesa, kita beri peluang kepada bahagian untuk buat komen atas cadangan daripada Majlis Tertinggi melalui jawatankuasa perlembagaan. Dan jawatankuasa ini, telah menghantar (cadangan pindaan) kepada semua bahagian.

"Saya difahamkan bahagaian-bahagian lain menyokong pindaan ini. Mereka boleh buat cadangan balas. Katalah ada sepuluh pindaan, mungkin mereka setuju sembilan, (dan yang) satu lagi pandangan mereka sendiri, dan (jika) mereka ingin membuat pindaan atas cadangan tersebut, mereka berhak berbuat demikian."

Menurut Najib lagi, cadangan pindaan perlembagaan tersebut tidak ditentukan oleh satu bahagian sahaja tetapi sebaliknya akan diputuskan oleh semua bahagian.

"Kita mengamalkan sikap terbuka dan akhirnya perhimpunan agung akan menentukan perkara ini - bukan satu bahagian tapi semua bahagian akan memutuskan perkara ini," katanya.

Dalam sidang media itu juga, Dewan Tertinggi BN turut membincangkan persiapan jentera parti itu untuk menghadapi pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir.

Umum calon tidak lama lagi

Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia menetapkan 17 Ogos untuk penamaan calon dan pengundian pada 25 Ogos.

Menurut Najib, dewan itu juga mendengar laporan Pengarah Pilihan raya BN di DUN Permatang Pasir, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung perkembangan terkini di kawasan tersebut.

Mohd Najib yang juga presiden Umno berkata, BN akan mengumumkan nama calon mereka "sikit masa lagi".

"Mudah-mudahan calon kita akan diterima oleh pengundi Permatang Pasir," katanya.

Mengenai perkembangan kongres BN yang dirancang dalam pentadbiran mantan perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Mohd Najib berkata:

"Kita akan buat kongres pada masa yang sesuai. Parti (komponen) kita ini masih ada pemilihan, masing-masing ada mesyuarat agung, masing-masing ada proses pembaharuan dalam parti.

"Eloklah kita biarkan proses ini selesai dahulu. Bila ada masa yang sesuai kita akan adakan kongres itu," katanya.

ADS