Berita Malaysiakini

Lagi siswa kes 'puaka' UM ditahan

Abdul Rahim Sabri  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

kemaskini 6.20pm Seorang lagi pelajar Universiti Malaya yang dikehendaki polis berhubung siasatan kes menconteng perkataan "bini puaka" di dewan kampus itu berjaya ditahan semalam.

Muhammad Aizat Roslan, pelajar jurusan syariah Akademi Pengajian Islam (API), ditangkap di sebuah kafeteria akademi kira-kira 1 tengah hari semalam.

Sekurang-kurangnya tiga anggota polis berpakaian biasa - dipercayai dari ibu pejabat polis daerah Brickfields - kelihatan menahan, dan kemudian menggari, mahasiswa tahun dua itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, Zulhazmi Shariff – peguam Muhammad Aizat – mengesahkan bahawa pelajar API itu ditahan reman selama dua hari.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

"Selalunya mengikut proses undang-undang, ia bermula pada hari tangkapan. Sepatutnya esok beliau akan dibebaskan," katanya, sambil menambah ibu bapa Muhammad Aizat turut hadir di mahkamah itu pagi tadi.

Zulhazmi berkata, anak guamnya ditahan mengikut Seksyen 427 dan 436 Kanun Keseksaan seperti dua tertuduh sebelum ini.

Menurutnya lagi, polis mengemukakan enam alasan dalam permohonan perintah reman, antaranya untuk membantu siasatan kes contengan tersebut dan untuk mendapat maklumat lanjut mengenai seorang lagi suspek yang masih lagi bebas, Muhammad Saufi Jelani.

Selain itu, kata peguam itu, kegagalan Muhammad Aizat menunjukkan kad pengenalan sewaktu ditahan juga menjadi alasan polis untuk mendapatkan perintah reman pagi tadi.

"Mereka hendak pastikan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sama ada dia rakyat Malaysia, kerana tidak ada IC sewaktu ditahan," katanya.

Muhammad Aizat ditahan reman di lokap ibu pejabat polis Brickfields.

Pelajar jurusan Syariah itu, yang berasal dari Gombak, antara tiga yang dikehendaki polis berhubung beberapa pertuduhan, termasuk cubaan membakar di dewan kuliah utama API menjelang satu program yang dihadiri isteri perdana menteri Rosmah Mansor.

Shazni Munir Mohd Ithnin, presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM, ditahan 17 Julai lalu berhubung insiden awal pagi 24 Jun lepas.

Sementara dua lagi - Mohd Izzuddin Hilmi Mohamad Zaini dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli - dihadapkan ke mahkamah pada 30 Jun lalu.

Kedua-duanya dituduh mengikut Seksyan 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan dan akan dibicarakan 7 Disember depan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.