Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 4.25pm Pejabat penerbit majalah kartun isu semasa Gedung Kartun dihujani panggilan telefon daripada orang ramai yang mahu membeli majalah tersebut.

Keluaran sulung majalah komik satira itu mendapat perhatian umum selepas pejabat syarikat penerbitnya Sepakat Efektif Sdn Bhd di Brickfields diserbu pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) pagi semalam (foto atas) .

NONE Sebanyak 408 naskhah dirampas bagi kesalahan bawah Seksyen 5(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan atau kesalahan menerbitkan tanpa permit.

Komik tersebut memuatkan karikatur tokoh-tokoh politik negara, khususnya perdana menteri dan isu yang sering dilekatkan bersamanya - Altantuya dan Mongolia.

Halaman kulit depannya memaparkan gelagat Datuk Seri Najib Razak yang tersilap mengibarkan bendera Mongolia bersempena sambutan hari kemerdekaan negara.

Isteri perdana menteri, Rosmah Mansor, pula digambarkan sebagai dalang yang menggerakkan wayang kulit berkepala suaminya, selain seorang yang menggunakan khidmat bomoh dan dilabelkan sebagai "Rosmoh."

Setebal 68 halaman, Gedung Kartun juga menggelarkan Najib sebagai "Datuk Nazak", dipercayai singkatan namanya dan bapanya Tun Abdul Razak Hussein.

Selepas berita serbuan itu tersebar semalam, banyak pihak berminat membeli majalah tersebut.

Setakat jam 3.30 petang ini, Malaysiakini difahamkan, puluhan peminat berkunjung ke pejabat Gedung Kartun di Jalan Sultan Abdul Samad bagi mendapatkan naskhah setelah gagal menemuinya di pasaran.

Hari ini, majalah itu mula memperkenalkan tempahan dalam talian di blog rasminya Zunar dan Konco-konco (koncozunar.blogspot.com) bagi menampung permintaan yang meningkat mendadak.

NONE "Berikutan rampasan KDN (semalam), kami ingin menyatakan bahawa majalah Gedung Kartun akan terus dijual, terutama melalui dalam talian (Internet)," kenyataan majalah itu dipetik.

Difahamkan juga, ia telah menerima 200 tempahan melalui jualan di Internet.

Pengguna Internet, yang berminat dengan satira politik itu, meninggalkan komen di blog dan laman sosial Facebook, mengadu kesukaran mendapatkannya di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Sabah.

Terdapat juga peminat daripada luar negara yang mencadangkan ia dijual dalam versi e-buku.

Sebanyak 10,000 naskhah edisi pertama Gedung Kartun dicetak untuk diedarkan di seluruh negara.

ADS