Rumah Ezam digeledah selepas Umno buat laporan polis
versi terkini Rumah Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional Mohamad Ezam Mohd Nor digeledah enam pegawai polis berpakaian biasa selepas dua jam Pemuda Umno membuat laporan polis hari ini.
Kira-kira jam 12 tengahari tadi, Setiausaha Pemuda Umno Zulkifli Mohd Alwi membuat laporan di balai polis Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur bagi menggesa siasatan dijalankan terhadap kenyataan Ezam seperti dilaporkan Mingguan Malaysia semalam.
Dalam berita muka depan, akhbar itu menyebutkan Ezam "mengaku sedang merancang untuk melancarkan demonstrasi besar-besaran bertujuan menggulingkan kerajaan yang dipilih rakyat."
Bagaimanapun Utusan Malaysia hari ini melaporkan Ketua Pemuda itu menafikan beliau merancang untuk berbuat demikian.
Menurut laporan itu lagi, Ezam sebaliknya berkata demonstrasi diadakan bagi "membolehkan rakyat meluahkan perasaan tidak puas hati mereka terhadap gejala rasuah dan kronisme dalam kementerian dan agensi kerajaan."
Ketika dihubungi hari, Ezam memberitahu malaysiakini beliau tidak pasti sama ada kumpulan polis itu membawa waran geledah ketika menyerbu kediamannya di Kelana Jaya, Selangor.
Ketika serbuan kira-kira jam 2 petang, tiada orang di rumah Ezam kecuali seorang pembantu wanita.
Tambahnya, pembantu rumah itu memaklumkan kepadanya bahawa rumah jiran Ezam turut diserbu polis dengan tujuan mencari pemimpin muda itu.
Zulkifli dalam laporannya berkata "kenyataan dan rancangan (Ezam) tersebut mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam."
Hari ini, akhbar melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mendakwa Keadilan mengadakan demonstrasi jalanan daripada memberikan peluang pengundi membuat keputusan dalam pilihanraya kerana "mereka sangat takut kepada demokrasi."
Mengulas kenyataan Dr Mahathir itu, Ezam menegaskan Perdana Menteri sekali lagi menggunakan media dan polis untuk mewujudkan suasana tegang serta memberikan imej buruk kepada partinya.
Ezam disiasat, Mahathir tidak
"Ini bukan pertama kali berlaku," katanya, sambil menambah tahun lalu, Dr Mahathir pernah "berbohong dan menfitnah" parti itu seperti dilaporkan Utusan Malaysia pada 10 April, menjelang beberapa hari sebelum sambutan ulang tahun pertama 'Gelita 14' atau hari memperingati bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman pertama selama enam tahun penjara.
Laporan muka depan akhbar itu menyebutkan "saya (Dr Mahathir) dengar Keadilan hendak mengadakan demonstrasi pada 15 April ini (tahun 2000) dengan tujuan nak memperingati tentang sesuatu (Anwar) dan mereka sedia nak pukul polis, nak bawa senjata... kayu dan molotov cocktail (bom botol)."
Ezam berkata kenyataan tidak bertanggungjawab Perdana Menteri itu cuba menimbulkan keresahan di kalangan rakyat tetapi tidak disiasat walau beliau membuat laporan pada 26 April tahun lalu.
Bagaimanapun menurut Ezam lagi, polis hari ini mengambil langkah segera terhadap kenyataan Dr Mahathir yang menuduh beliau "merancang untuk menggulingkan kerajaan."
"Saya dan beberapa pemimpin parti ditahan tetapi tidak seorangpun didakwa," kata Ezam hari ini, mengulas kejadian tahun lalu.
Presiden Parti Rakyat Malaysia Dr Syed Husin Ali turut melahirkan rasa "hairan" terhadap kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Jamil Johari yang bercadang mengambil langkah segera atas laporan Mingguan Malaysia semalam.
"Kami berasa lebih hairan lagi kerana selama ini polis berdiam diri saja dan tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap beberapa laporan polis yang telah dibuat oleh Pemuda Barisan Alternatif mengenai korupsi dan perompakan wang rakyat yang dilakukan oleh pucuk pimpinan Barisan Nasional dan kroni-kroni mereka," kata Dr Syed Husin lagi.
Jamil hari ini berkata polis mempunyai kekuatan untuk mengawal perhimpunan besar-besaran.
"Saya ingin tegaskan di sini bahawa jika demonstrasi diadakan juga, polis akan bertindak tegas. Kita tidak akan membenarkan demonstrasi mencetuskan kesusahan kepada orang lain atau mengancam keselamatan," katanya kepada agensi berita Bernama .


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.