Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ahli-ahli Umno hari ini diminta mengambil iktibar daripada kisah zaman Khalifah Umar al-Khattab mengenai kisah ibu dan anaknya, dalam usaha untuk mengukuhkan parti dan sentiasa mendengar rintihan rakyat.

Wakil Umno Sabah, Datuk Seri Yahya Hussin berkata kisah tersebut adalah mengenai seorang ibu yang amat miskin dengan anak-anaknya yang sedang kelaparan.

Katanya, kerana tidak ada makanan, maka si ibu itu telah merebus beberapa ketul batu, untuk memberi gambaran kepada anak-anaknya yang dia sedang memasak makanan.

Bagaimanapun, apa yang diharapkan oleh si ibu ialah agar anak-anaknya yang lama menunggu akan tertidur dan lupa tentang makanan.

Ketika menceritanya kisah itu, Yahya mengumpamakan si anak itu sebagai rakyat yang sedang menunggu janji-janji yang dibuat kepada mereka tetapi "tidak kunjung tiba".

Kisah tersebut, katanya, perlu diambil iktibar kerana rakyat tidak terus menerus menunggu janji-janji yang tidak dipenuhi.

Beliau membangkit kisah tersebut ketika menyentuhkan langkah Datuk Seri Najib Razak yang turun meninjau keadaan rakyat selepas dilantik sebagai perdana menteri.

Berucap membahas ucapan dasar presiden Umno di PWTC hari ini, beliau juga menasihatkan ahli Umno agar menghindari wabak 3L - lagak, laga dan lagha - yang boleh membawa kepada kelemahan Umno.

Bagi 'lagak', Yahya menasihatkan akar umbi menghindari sikap angkuh dengan bermewah-mewah dan berfoya-foya sehingga menyebabkan ahli muak melihatnya.

Bagi 'laga' pula, Hussin menegaskan bahawa terdapat ahli akar umbi yang suka melaga-lagakan antara satu dengan lain.

"Kita gemar mencari perbezaan, melaga-lagakan dalam keadaan diam, dan terang sehingga melumpuhkan kekuatan parti," katanya.

Sehubungan itu, Yahya menasihatkan ahli akar umbi supaya tidak bersengketa sehingga memberi peluang dan ruang musuh untuk mengkucar-kacirkan parti.

Beliau juga menasihatkan ahli agar berhati-hati terhadap musuh dalam selimut atau yang menjadi gunting dalam lipatan dalam parti.

Bagi 'Lagha' pula, Hussin mendefinasikan istilah tersebut sebagai perbuatan leka, khayal, lupa dan alpa sehingga membuatkan akar umbi merasa selesa tidak ada apa-apa yang berlaku.

Dalam ucapan itu juga beliau menyarankan gar Najib diber sebagai "Perdana Menteri Rakyat".

Katanya, ini kerana, beliau mengutamakan rakyat berdasarkan konsep 1Malaysia iaitu rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

ADS