mk-logo
Berita
Pemuda Umno tubuh 'bilik perang' pilihan raya

Pemuda Umno akan membentuk 'bilik perang' Pemuda untuk memenangi pilihan raya umum yang akan datang, kata Ketuanya, Khairy Jamaluddin.

Di samping itu, katanya, pergerakan itu akan menukar strateginya dalam menghadapi pembangkang dalam pilihan raya akan datang.

Katanya, setelah mengalami beberapa pilihan raya kecil, pergerakan itu akan mengambil pendekatan 'menyerang' pembangkang.

"Kita tidak biarkan lagi Umno dicerca, cuba menabur fitnah tanpa mengira dosa.

"Lihat di Bagan Pinang, mereka mengisytiharkan jihad, tetapi ahli Umno berada di barisan hadapan untuk menjaga maruah parti," katanya ketika menggulung perbahasan di perhimpunan agung Umno di PWTC petang ini.

Pemuda Umno juga, katanya, akan mengadakan permukiman dengan ketua dan naib ketua Pemuda bahagian sebelum akhir tahun ini untuk membentuk semangat berpasukan dalam parti.

"Dalam pilihanraya Manek Urai dan Bagan Pinang, kita menang di saluran muda (pengundi muda). Ini disebabkan gerak kerja yang mantap dan tersusun untuk menambah undi dari golongan pemuda," katanya.

"Kursus latihan itu untuk mencapai KPI (Kunci Indeks Pencapaian) yang ditentukan untuk menangkan selera anak muda," katanya.

Khairy berkata, pergerakan itu akan berkerjasama dengan biro politik yang diketuai oleh Naib Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi untuk menggerakkan iltizam untuk mencapai misi menarik pengundi muda.

Katanya, beliau juga akan menerapkan budaya ikhlas bagi memupuk prinsip kesatuan fikiran, kesatuan matlamat, kesatuan hati dan kesatuan amal sepertimana yang digariskan oleh Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Khairy juga menyentuh mengenai cadangan Pemuda yang menitikberatkan golongan muda dengan mencadangkan kerajaan memberi insentif kepada golongan muda.

Ia termasuk memberikan bantuan kewangan untuk membeli rumah, memberi peluang pekerjaan dan pinjman kewangan termasuk menubuhkan Bank Belia.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini