Kelab Penyokong PAS (KPP) akan menemui pucuk pimpinan parti bagi mendesaknya mengotai janji untuk menaikkan taraf kelab tersebut sebagai sayap PAS.

Pengerusi KPP pusat, Hu Pang Chow berkata pertemuan itu juga bertujuan untuk mengetahui perkembangan terkini berhubung status kelab tersebut.

Katanya, beliau bercadang menemui kepimpinan PAS, termasuk Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Dr Mujahid Yusof selepas sidang parlimen sekarang berakhir bulan depan.

"Saya juga akan beri pandangan saya, supaya PAS dapat buat keputusan yang terbaik agar impak kemasukan bukan Islam, tidak menimbulkan salah faham di kalangan ahli PAS.

"Sebagai contoh, dalam sebuah rumah ada lima orang. Lepas tu apabila kita bangun keesokan harinya, ada pertambahan menjadi 10 orang. Jadi bagaimana pertambahan ahli boleh berlaku?" soal Hu.

"Nanti ahli PAS tak berasa selesa perkara ini berlaku," kata Hu ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Semalam Hu dilaporkan mahu kepemimpinan PAS mengotakan janjinya dengan menyegerakan langkah menaikkan taraf kelab itu sebagai sayap parti itu.

Katanya beliau mendengar banyak rungutan dan kebimbangan di kalangan penyokong Cina ekoran kelewatan PAS merealisasikan hasrat tersebut.

Hu juga dilaporkan berkata beliau bimbang kelewatan tersebut akan membolehkan Umno - dengan konsep 1Malaysia - berjaya memenangi hati rakyat berketurunan Cina untuk menyokongnya dalam pilihan raya akan datang.

Bagaimanapun, Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan pula dilaporkan berkata, jawatankuasa pusat PAS komited untuk menaikkan taraf KPP sebagai sayap parti bertaraf dewan walaupun ada pandangan yang tidak bersetuju dengannya.

Menurut Nasrudin lagi, kepimpinan pusat masih menunggu draf cadangan daripada jawatankuasa teknikal untuk menjadikan KPP menjadi sebuah dewan.

Kelab tersebut ditubuhkan sejak tahun 2004 dan diusulkan untuk dinaik taraf menjadi sayap pada muktamar PAS pada 2007.

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini