kemaskini 2.54pm Datuk Nik Aziz Nik Mat diundang khas dalam pertemuan dengan jawatankuasa pusat PAS dan barisan pesuruhjaya negeri bagi membincangkan isu beberapa pemimpin kanan "bermasalah" berhubung idea kerajaan perpaduan.
Mursyidul am PAS, yang juga pesuruhjaya Kelantan, antara lebih kurang 60 pemimpin parti itu yang diundang untuk membahaskan isu tersebut Rabu ini sejak ia timbulkan Jumaat lalu.
Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali bagaimanapun berkata beliau tidak pasti sama ada menteri besar itu - yang paling berkeras dengan isu tersebut - akan turut hadir.
"Beliau (Nik Aziz) hadir sebagai pesuruhjaya dan sebagai jemputan khas kerana kita nak dengar sendiri (mengapa) beliau buat kenyataan begitu.
"Kita berharap tok guru akan hadir," katanya dalam sidang media berhubung isu itu di Kuala Lumpur pagi ini.
Didesak pemberita reaksi selanjutnya jawatankuasa pusat PAS dan pesuruhjaya negeri jika Nik Aziz tidak hadir dalam pertemuan tersebut, Mustafa berkata:
"Tok Guru (Nik Aziz) sudah bercakap dengan (naib presiden PAS) Salahudin (Ayub), dan Salahudin akan menyampaikan dalam mesyuarat.
"Mesyuarat akan menentukan keputusan, mesyuarat pasti akan buat keputusan."
Mengulas cadangan mengadakan muktamar khas seperti desakan Nik Aziz, Mustafa berkata perlembagaan PAS membolehkan satu mesyuarat agung luar biasa diadakan apabila:
- ia dipanggil oleh presiden parti,
- satu pertiga daripada 37 anggota jawatankuasa pusat menulis surat memohon mengadakannya, dan
- satu pertiga kawasan-kawasan PAS menulis untuk berbuat demikian.
Menulis di blognya Khamis lepas, Nik Aziz menggesa satu muktamar khas diadakan bagi membincangkan "beberapa pemimpin bermasalah" kerana masih berpegang kepada idea kerajaan perpaduan dengan Umno.
Beliau mengulas analisis politik pensyarah undang-undang Dr Abdul Aziz Bari yang mengaitkan ketewasan teruk PAS di Bagan Pinang baru-baru ini dengan kekalutan, yang melibatkan pemimpin parti itu, dalam pentadbiran kerajaan Selangor.
Di sidang media yang sama, Mustafa turut menafikan kontroversi terbaru itu satu “masalah dalaman” parti seperti ditanggap pihak luar, antaranya Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mustafa menafikan terdapatnya masalah komunikasi antara Nik Aziz dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang atau dengan ahli-ahli jawatankuasa pusat parti.
Mustafa juga berkata isu kerajaan perpaduan PAS-Umno "sudah ditutup" dalam muktamar lalu dan kini parti itu sedia bekerjasama dengan dua lagi rakannya dalam Pakatan Rakyat.
"Kerjasama politik (dengan Umno), kita sudah tutup buku kerana keputusan muktamar. Tetapi perbincangan antara kerajaan dengan kerajaan, dalam konteks federalisme sebagai contoh isu royalti, tidak jadi masalah,” katanya.
"Tidak ada kerjasama dengan Umno, kita sedang memperkukuhkan Pakatan Rakyat."
Ditanya sama ada pesuruhjaya PAS dibenarkan untuk mengundi memutuskan sama ada untuk mengadakan mesyuarat luar biasa atau tidak, Mustafa berkata, tidak boleh.
"Dalam mesyuarat jawatakuasa PAS ini, kita tak pernah mengundi. Semuanya cara syura atau konsensus," tambahnya.
Bagaimanapun, Mustafa optimis, setiap kali kepimpinan PAS bermesyuarat, mereka mampu untuk menyelesaikan masalah yang timbul.
Diminta mengulas sama ada artikel di blog Nik Aziz itu disediakan oleh pihak ketiga, atau terdapat dalang yang menulisnya, Mustafa enggan mengulas perkara tersebut.
Ditanya mengenai tulisan tersebut yang mengaitkan namanya antara "dua tiga kerat pemimpin yang bermasalah", Mustafa juga enggan mengulas.
"Tapi kalau tanya perasaan saya, saya orang paling tenang pada hari ini. Tok Guru sebut nama saya, saya tak rasa terluka," katanya.
Ditanya mengapa Nik Aziz mengeluarkan kenyataan tersebut, Mustafa sekali enggan mengulas.
Beliau sebaliknya meminta pemberita merujuk sendiri soalan itu dengan Nik Aziz untuk mendapatkan penjelasan.
"Awak kena tanya dialah. Saya tidak boleh membuat andaian sebab apa (beliau mengeluarkan kenyataan itu)," katanya.