Penahanan Ezam: Suhakam digesa nyatakan sikap
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) digesa menyatakan pendiriannya berhubung cara polis menahan Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional, Mohamad Ezam Mohd Nor dua hari lalu.
Ezam kini ditahan reman selama empat hari sehingga Sabtu ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di Jalan Stadium, Kuala Lumpur. Beliau sedang disiasat di bawah seksyen 4 (1) Akta Hasutan berhubung satu kenyataannya seperti dilaporkan oleh akhbar Mingguan Malaysia Ahad lalu.
Laporan muka depan akhbar itu menyebutkan pemimpin pembangkang itu "mengaku sedang merancang untuk melancarkan demonstrasi besar-besaran bertujuan menggulingkan kerajaan yang dipilih rakyat."
Bagaimanapun Ezam telah menafikan perkara itu dalam akhbar Utusan Malaysia Isnin lalu. ([#1] Rumah Ezam digeledah selepas Umno buat laporan polis [/#], 5 Mac)
Pengerusi DAP, Lim Kit Siang menyifatkan tindakan polis itu "angkuh (high-handed) dan bermotif politik."
"Kerajaan sepatutnya menghormati hak kebebasan rakyat Malaysia untuk bersuara, berhimpun dan berpersatuan," katanya dalam satu kenyataan.
"(Kerajaan juga) patut sedar bahawa Suhakam kini sedang merangka garis panduan bagi membolehkan perhimpunan aman diadakan untuk meluahkan perasaan secara demokratik, teratur dan aman."
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menafikan penahanan Ezam bermotifkan politik.
"Ezam ditahan bukan kerana perbezaan fahaman politik tetapi kerana kata-katanya (dalam akhbar)," kata Abdullah seperti dilaporkan hari ini.
Akhbar wajar disiasat
Bagaimanapun Lim mempertikaikan kewibawaan akhbar itu dan menyifatkan penangkapan Ezam itu tanpa alasan kukuh.
"Kenapa polis wajar mempercayai Mingguan Malaysia dan bukannya Ezam, khususnya kerana akhbar itu sendiri tidak mempunyai kewibawaan dan integriti?" soal Lim lagi, sambil menambah pemberita dan pengarang akhbar itu harus disiasat dan kebenaran berita disahkan terlebih dahulu.
Timbalan Presiden Keadilan Dr Chandra Muzaffar juga bersetuju dengan pandangan Lim. Beliau berkata lazimnya jika sesuatu laporan telah dinafikan, akhbar berkenaan yang wajar dimulakan siasatan.
"Sebelum kesahihan berita, Ezam ditangkap. Apakah Mingguan Malaysia telah menjalankan siasatan terhadap laporannya (tentang kenyataan Ezam itu)?" kata Dr Chandra.
Polis hari ini dilaporkan sedang mengkaji laporan yang ditulis oleh pemberita akhbar itu berhubung kenyataan Ezam itu.
Sementara itu sembilan penyokong pembangkang yang ditahan dalam satu perhimpunan menyokong Ketua Pemuda Keadilan itu dijangkakan dibebaskan petang ini dengan jaminan polis. ([#2] 9 penyokong Ezam ditahan di balai Travers, Campbell [/#], 6 Mac)
Mereka yang ditahan malam tadi termasuklah pengarah kempen 'Bebaskan Anwar' (FreeAnwar Campaign) Raja Petra Kamaruddin, isterinya dan dua lagi wanita.
Ezam ditahan selepas polis menerima dua aduan yang dibuat oleh Ketua Siasatan Jenayah IPD Dang Wangi, Deputi Supritenden Yusof Shafie dan Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda Umno, Zulkifli Alwi dua hari lalu berhubung laporan akhbar itu. ([#3] Ketua Pemuda ditahan sehingga Rabu bagi kes 'hasutan'[/#] , 5 Mac)


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.