Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ahli jawatankuasa Biro Politik Umno bahagian Shah Alam, Mohd Nazmi Rosli menjelaskan kehadirannya dalam sidang akhbar ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah yang mengisytiharkan keluar PKR semalam, sebagai tanda sokongan kepada sahabatnya itu.

Beliau mengakui rapat dengan Badrul Hisham sejak mereka sama-sama dalam PKR dahulu dan beliau pernah memegan jawatan setiausaha PKR Selangor.

Mohd Nazmi merupakan rakan rapat bekas ketua Pemuda PKR, Ezam Mohamad Nor yang meninggalkan parti selepas kongres di Seremban pada 2007, dan kemudiannya menyertai Umno.

"Dalam parti, saya pernah rasmi mesyuarat agung bahagian Kelang pada tahun 2007 dan menyampaikan ucapan dalam majlis hari rayanya pada tahun yang sama.

"Kami kenal sejak aktif PKR lagi. Sejak dia pegang jawatan ahli jawatankuasa bahagian Klang dan saya selaku setiausaha Selangor, banyak program rasmi parti, saya terlibat," katanya.

Mohd Nazmi berkata beliau hadir menemani Badrul dalam sidang akhbar semalam kerana ADUN Pelabuhan Klang itu "membuat satu keputusan besar sebagai wakil rakyat".

"Saya diminta hadir dalam sidang akhbar semalam, sebab dia (Badrul Hisham) nak buat keputusan besar.

"Saya tidak mahu kehadiran saya disalahertikan. Mungkin persepsi orang sahaja. Tetapi kehadiran saya untuk memberi sokongan.

"Beliau sebagai wakil rakyat dalam kerajaan negeri yang memerintah, sanggup mengisytihar keluar parti untuk menjadi ADUN Bebas. Jadi saya tidak menolak pelawaannya untuk memberi sokongan kepadanya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Badrul Hisham mengumumkan keluar PKR beberapa jam selepas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencadangkan kepada Majlis Pimpinan Tinggi (MPP) PKR meminta wakil rakya tuntuk meletak jawatan kerana didakwa gagal berkhidmat kepada pengundinya.

Katanya, Badrul Hisham memberitahunya bahawa beliau mengambil keputusan untuk keluar dari PKR, kerana kecewa dan tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti itu.

"Ini kerana peruntukan sebagai seorang ADUN tidak turun ke kawasannya. Beliau adalah wakil rakyat, kenapa tidak mengiktiraf menjadi sebagai wakil rakyat.

"Beliau wakil rakyat yang dipilih untuk menjalankan tugas. Sekarang ada wakil rakyat angkat, secara tidak langsung tidak mengiktiraf beliau sebagai wakil rakyat," katanya.

Mohd Nazmi juga menyifatkan sebagai keterlaluan kenyataan Khalid yang mendakwa Badrul Hisham tidak menjalankan tugas.

"Sepatutnya, teguran dibuat secara dalaman parti. Kenyataan terbuka, menjatuhkan maruahnya sebagai wakil rakyat," katanya.

ADS