BERITA

...Pemuda Umno minta SPRM siasat

Abdul Rahim Sabri

Diterbitkan
Dikemaskini 11 Nov 2009, 8:34 pagi

Pemuda Umno Kelantan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat tajaan kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat untuk menunaikan fardu Haji minggu depan.

Ketuanya, Anuar Safian berkata, pihaknya bercadang untuk membuat laporan polis berhubung isu tajaan tersebut.

Beliau diminta mengulas laporan yang memetik Nik Aziz sebagai berkata beliau menerima tajaan menunaikan haji pada 18 November ini bernilai RM65,000.

Nik Aziz juga dilaporkan berkata, tajaan tersebut bukanlah rasuah kerana pihak penaja tidak meminta sebarang ganjaran balas daripadanya.

Mengulas mengenainya, Anuar berkata, pemberian sejumlah wang kepada menteri besar Kelantan itu untuk menunaikan ibadah haji adalah "satu bentuk rasuah".

Beliau berkata, Nik Aziz yang juga mursyidul am PAS tidak boleh menerima sebarang pemberian atau hadiah, termasuk dalam bentuk wang.

"Mungkin ada pemberian yang mengharapkan pembalasan. Tidak ada imbuhan pada hari ini, mungkin ada pada masa akan datang.

"Beliau tidak boleh menerima, kerana ia sumbangan terus untuk peribadi," katanya.

Mengulas mengenai kenyataan setiausaha PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim bahawa pemberian tajaan tersebut adalah "sebahagian daripada amalan dan budaya" di negeri itu, Anuar berkata:

"Bagi saya ia bukan amalan di negeri ini. Orang agama tak terima duit. Orang yang mengajar al-Quran di kampung pun tak terima duit.

"Ini diberikan kepada individu, mesti ada sebabnya," kata Anuar yang juga pengerusi 4B Kelantan.

Beliau berkata, sekiranya tajaan tersebut dimasukkan ke dalam tabung untuk membiayai program NGO tertentu, ia tidak menjadi satu kesalahan.

Sebaliknya, kata beliau, jika tajaan itu untuk individu yang berjawatan tinggi dalam kerajaan, maka ia tidak boleh.

Sebagai contoh, katanya, sekiranya ada tajaan tertentu, ia boleh disalurkan kepada akaun parti itu (PAS) di peringkat kawasan.

“Ia tidak boleh diberikan kepada individu,," katanya.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.