Malaysiakini BERITA

Najib: MEB bukan keputusan muktamad k'jaan

Abdul Rahim Sabri  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan kembali bahawa Modul Ekonomi Baru (MEB) adalah satu cadangan dan bukan  satu keputusan muktamad kerajaan dalam membuat sesuatu ketetapan.

Sebaliknya tegas Najib, model tersebut merupakan satu proses kerajaan untuk mendapat pandangan daripada pelbagai pihak termasuk dari kalangan akar umbi orang Melayu.

NONE "Saya nak (semua) ada pemahaman ini. Ia merupakan cadangan daripada pemikir-pemikir yang melihat dari sudut pasaran global, tetapi hari ini saya mendengar daripada suara akar umbi," katanya sewaktu menyampaikan ucapan penutup kongres Ekonomi Bumiputera di ibunegara malam ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab keresahan orang Melayu khususnya peserta kongres yang menolak MEB kerana "tidak mengutamakan agenda bumiputera".

Menurut Najib,  MEB yang dicadangkan oleh Majlis Penasihat Ekonomi Negera (MPEN) juga bukan usaha untuk mengetepikan agenda Melayu.

Sebaliknya, ia adalah bagi mencari pendekatan yang lebih dinamik yang sesuai dengan zaman sekarang.

"Kita akan menyambut tahun 2020 sebagai sebuah negara maju, mahu tidak mahu pertubuhan ekonomi negara perlu ditingkatkan.10 tahun lagi kita mesti menjadi sebuah negara maju. Dan sebagai sebuah negara maju, maka saya nak orang Melayu pun maju.

"Saya mahu dunia melihat hebatnya kaum Melayu... Kemampuan orang Melayu yang luar biasa. Bangsa Melayu menjadi bangsa yang bermaruah, disegani dalam persaingan di peringkat global... Ini cita-cita yang cuba kita bina dan perkukuhkan," katanya.

Najib yang juga presiden Umno berkata bagi mencapai sebuah negara maju, maka negara perlu merancakkan ekonomi negara dengan meningkatkan pendapatan perkapita sehingga mencecah 6 peratus berbanding 3 hingga 4 peratus sekarang ini.

NONE "Sekiranya mencapai pertumbuhan sebanyak 6 peratus pada tiap-tiap tahun, Insya-Allah Malaysia akan menjadi sebuah negara maju," katanya.

Jelasnya, pendapatan per kapita negara sekarang ini adalah sebanyak USD 8,000 setahun, perlu dilonjak kepada USD15,000 menjelang 2020.

Dalam ucapannya juga Najib berkata sewaktu beliau menerajui kerajaan, beliau telah meggariskan beberapa prakara penting antaranya lain berusaha menguatkan Malaysia dengan mengutamakan konsep yang diutarakan oleh mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad  melalui Wawasan 2020 dan konsep bangsa Malaysia.

Tegasnya beliau juga turut mewujudkan konsep 1Malaysia yang tidak sama dengan konsep Malaysian Malaysia.

"Jangan ada sesiapa di antara kita yang (cuba) menyamakan antara (konsep) 1Malaysia dengan  Malaysian Malaysia. 1Malaysia berpaksi kepada perlembagaan Malaysia sama ada tersurat atau tersirat pada prinsip atau rohnya.

"Oleh itu saya harap tidak ada rasa sangsi dan khuatir bahawa saya tidak akan mendengar isi hati orang lain. Tidak mungkin saya sebagai presiden Umno, tidak mengambil kira pandangan orang Melayu," katanya.

Katanya perjuangan ayahandanya, Tun Abdul Razak yang berusaha memastikan orang Melayu tidak tersisih dalam pembangunan negara akan diteruskan dan beliau berharap tidak ada di kalangan rakyat Malaysia berfikir bahawa beliau mengetepikan perjuangan dan untung nasib orang Melayu.

"Takkan saya sebagai anak kepada pengasas DEB akan mengkhianati perjuangan ayahandanya. Tak mungkin," katanya yang mendapat tepukan gemuruh 1,000 hadirin..

"Dalam hati kecil saya, saya mahu melihat orang Melayu berjaya dan maju," katanya.

Menjawab berhubung permberian permit AP, Najib berkata, tidak semua syarikat mendapat AP, sebaliknya permit tersebut hanya diberikan kepada 93 syarikat sahaja.

"Kita cari syarikat Melayu bumiputera yang ada potensi, kita beri suntikan modal dan peruntukan. Bukan kita beri kepada syarikat kroni, tapi kepada syarikat tuan-tuan.

"Kita ada program Jejak Jaya Bumiputera, syarikat yang hampir disenaraikan di bursa saham, kita tolong beri kontrak, supaya disenaraikan di bursa saham. Ini pendekatan baru daripada kita (kerajaan)," katanya.

Dalam ucapannya juga, Najib berkata dalam usaha untuk memperjuangankan agenda Melayu, kerajaan tidak boleh mengetepikan orang lain kerana kerajaan juga memerlukan sokongan daripada kaum lain seperti Cina, India, Kadazan dan lain-lain.

"Kalau tidak, mereka tidak akan sokong kita dan banyak kerusi kita akan tumbang," katanya.

Najib yang juga pengerusi BN berkata terdapat kaum lain seperti kaum Cina yang menerima kepimpinan yang ditunjangi oleh Umno.

"Mereka nak kita berlaku adil, bukan mereka mengetepikan Fasal 152 dan 153 (dalam perlembagaan persekutuan)," katanya sambil mengingatkan bahawa adil itu merupakan satu perintah Allah kepada semua.

Najib yang juga ahli parlimen Pekan turut menempelak pemimpin politik yang sudah "menjual Melayu" kerana semata-mata nak jadi perdana menteri.

"Bila Lim Kit Siang naik, orang Melayu tepuk tangan... yang pelesit orang itulah, orang itulah hantu segala hantu...... Jangan sakiti orang Melayu," katanya sambil mendapat sorakan tepukan gemuruh hadirin.

Sebelum itu, Najib menerima resolusi kongres tersebut yang diserahkan oleh pengerusi Majlis Perundingan Melayu (MPM) Datuk Ibrahim Ali.

Najib juga turut menerima resolusi daripada lebih 20 resolusi daripada NGO yang lain yang disampaikan oleh wakil mereka masing-masing.

'Kita terima resolusi itu. Banyak, sebeban tu.. tidak pernah (saya terima) dalam sejarah (sebanyak itu)," katanya sambil disambut gelak ketawa hadirin.

Beliau juga mengalu-alukan dan sedia berbincang dengan MPM demi memperjuangkan agenda Bumiputera.