Adun Umno adu penyelewengan bekas MB Pahang
versi terkini Menteri Penerangan Tan Sri Khalil Yaakob didakwa menyalah guna kuasa semasa memegang jawatan Menteri Besar Pahang khususnya berhubung pemberian kawasan balak yang melebihi kuota Dasar Perhutanan Negara.
Satu aduan polis berhubung hal itu dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Beserah, Datuk Fauzi Abdul Rahman, petang semalam di Kuantan.
Menurut sumber, laporan itu menyebutkan bahawa sebagai Menteri Besar, Khalil juga menganggotai Majlis Perhutanan Negara yang menetapkan negeri itu hanya boleh menebang mengikut kuota tahunan lebih kurang 28,000 ekar.
Bagaimanapun, kuota itu tidak dipatuhi seperti digariskan oleh dasar tersebut, laporan itu dipetik.
Ketika dihubungi hari ini, Ibu Pejabat Polis Kuantan bagaimanapun enggan mengulas lanjut aduan itu.
"Saya susah hendak membuat pengesahan sama ada Datuk Fauzi sendiri yang membuat laporan atau orang lain yang membuat laporan ke atas seseorang," jelas pegawai polis wanita tersebut, yang tidak ingin dikenali, kepada malaysiakini .
Seorang pegawai lelaki, dipercayai pegawai penyiasat kes itu, juga enggan mengulas.
Fauzi, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dikatakan melaporkan kepada polis bahawa tindakan Khalil itu "menjejaskan sumber kewangan dan aliran tunai" kerajaan Pahang sekarang.
Tahun lalu wakil-wakil rakyat pembangkang pernah mempertikaikan jumlah bayaran premium yang rendah diterima kerajaan negeri berbanding keluasan kawasan balak yang diluluskan.
Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob, yang menggantikan Khalil, dilaporkan berkata kutipan yang rendah itu diperolehi ketika beliau belum menerajui negeri itu.
Ketika membentangkan belanjawan bagi tahun 2000, Adnan berkata pembalakan menyumbang pendapatan terbesar negeri itu. Sektor itu menyumbang sebanyak RM99.81 juta daripada jumlah pendapatan negeri sebanyak RM334.78 juta pada tahun sebelumnya.
Kerajaan Pahang juga pernah berura-ura awal tahun lalu untuk melaksanakan dasar tender terbuka bagi meningkatkan pendapatan berbanding dasar selama ini yang berasaskan rundingan konsesi.
Krisis Umno
Terengganu yang kini ditadbir PAS percaya negeri itu berupaya meningkatkan hasil sehingga lapan kali ganda melalui kaedah tender terbuka, berbanding dasar rundingan konsesi yang diamalkan ketika negeri itu ditadbir Umno.
Menurut sumber yang rapat dengan Umno bahagian Kuantan, perkembangan ini ada hubungan dengan krisis dalam parti itu ketika pemilihan di peringkat cawangan dan bahagian sedang berlangsung sekarang.
Malaysiakini difahamkan Fauzi, dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berada dalam keadaan sukar mempertahankan kedudukannya sebagai ketua bahagian itu sejak krisis Umno ekoran pemecatan Anwar pada 1998.
Khalil mentadbir negeri itu selama 13 tahun mulai 1986 dan dipindahkan kepada jawatannya sekarang pada Mei, 1999. Sebelum itu beliau merupakan Adun Lepar.
Dalam pilihanraya 1999 Khalil memenangi kawasan parlimen Kuantan, mengalahkan calon Parti Keadilan Nasional Fuziah Salleh, dengan majoriti 7,361.
Sementara Fauzi dipindahkan daripada kerusi parlimen Kuantan kepada kawasan yang dimenanginya sekarang. Beliau berjaya mengalahkan calon PAS Mohd Yusof Ibrahim dengan majoriti 985.
Khalil juga dilantik sebagai Setiausaha Agung Umno mulai pertengahan 1999 bagi menggantikan Datuk Sabaruddin Chik, bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.