Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Umno mencabar PAS mendesak kerajaan Pakatan Rakyat Selangor menutup pusat hiburan dalam bulan Ramadan.

"Kalau nak tegakkan amar makruf nahi mungkar, ayuh jadilah anak jantan. Saya cabar PAS," kata timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar.

"Kalau tak mampu, Pemuda Umno bersama-sama dengan Umno negeri bersedia untuk mendesak kerajaan negeri menutup pusat hiburan di bulan Ramadhan," katanya disambut tepukan hadiran ceramah jelajah 'Gelombang Selamatkan Selangor' malam tadi.

Noh yang juga ahli parlimen Tanjung Karang mendakwa tindakan Pakatan Rakyat menyalahkan BN kerana tidak menutup sewaktu parti itu memerintah adalah satu tindakan melarikan diri daripada tanggungjawab.

ezam, khir, noh selamat selangor Setelah tiga minggu berlangsungnya siri jelajah tersebut - Noh, ketua pembangkang DUN Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dan bekas ketua Angkatan Muda PKR Ezam Mohd Noor berkongsi ceramah malam tadi.

Malaysiakini

difahamkan daripada 19 ceramah yang diadakan di 22 bahagian di negeri itu, ketiga-tiga pemimpin tersebut  'bersatu' di atas satu pentas dalam usaha untuk 'menyelamatkan' Selangor dan merampas semula dari tangan Pakatan Rakyat.

Ketiga-tiga tokoh tersebut adalah Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar, ketua pembangkang DUN Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dan bekas ketua Angkatan Muda PKR Ezam Mohd Noor.

Malah bagi menggambarkan kebersamaan mereka, Ezam dalam ucapannya menafikan laporan portal berita seperti Malaysiakini yang didakwa cuba melaga-lagakan beliau dengan dua pemimpin Umno itu.

"Mereka (portal berita itu) tidak kenal saya. Saya adalah kenalan rapat dengan Datuk Seri Noh dan Datuk Seri Mohd Khir.

"Mereka tidak boleh pecah-pecahkan semangat kami," katanya di hadapan lebih 300 hadirin, termasuk penyokong parti komponen BN.

selamat selangor lagi Ceramah beliau itu diadakan dalam majlis kemuncak bagi siri jelajah untuk pusingan pertama diadakan di Kampung Jalan Kebun.

Kampung tersebut terletak dalam DUN Sri Muda di bahagian Kota Raja.

Manakala Noh yang juga menteri pertanian dan asas tani dalam ucapannya turut menegaskan bahawa beliau tiada masalah dengan Dr Khir dan Ezam.

"Kami bertiga adalah dari satu pasukan dan bergerak dengan satu haluan. Siri ceramah ini telah mendapat perhatian dari kerajaan Selangor.

"(Jadi) kita nak selamatkan Selangor yang berada di bawah PKR," katanya selaku penceramah kedua.

Tidak cukup dengan itu, ketiga-tiga pemimpin Umno itu, bergambar bersama-sama  di atas pentas di samping pemimpin Umno yang lain selepas berakhirnya ceramah tersebut.

Sementara itu, Dr Mohd Khir yang juga bekas menteri besar berkata Umno Selangor mengadakan siri ceramah tersebut bagi menyelamatkan negeri itu dari pemimpin yang didakwa melakukan kemungkaran dan kemusnahan.

Beliau mempertikai terhadap Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berhubung pakej ekonomi yang diluluskan dan Dewan Undangan Negeri sebanyak RM50 billion.

"Saya kata (dalam dewan) bila nak buat. Lepas itu, beliau (Khalid) kata, itu tugas saya," katanya selaku penceramah pertama.

Dr Mohd Khir mendakwa kerajaan negeri tidak memajukan sungai Kelang yang diperuntukkan sebanyak RM6billion dan "tidak nampak" pelaksanaan projek pembangunan di Petaling Jaya Lama (PJ Old Town) yang diperuntukkan RM12billion.

"Saya tak nampak projek itu. Ini yang dikatakan pakej ransangan negeri Selangor. Inilah pakej (tapi) tak dilaksanakan," dakwanya.

Beliau juga mengkritik Khalid yang juga ADUN Ijok dengan mendakwa menteri besar itu gagal mencapai sasaran bagi hasil pasir sebanyak RM150 juta seperti yang telah dinyatakan.

Katanya dalam bajet tahun lalu, Dr Mohd Khir mendakwa hasilnya menurun dan kerajaan Selangor gagal mendapat hasil seperti yang disasarkan.

Dalam majlis yang sama, pihak penganjur mengedarkan tiga risalah berhubung dakwaan isu kecurian pasir di negeri Selangor.

Salah satu daripada risalah tersebut mengenai karikatur seorang lelaki yang mengorek pasir dengan menggunakan jentera pengorek pasir Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dan wang yang diperolehi dimasukkan karung yang bertulis PKR.

kartun selangor Selain itu turut diedar risalah mengenai dakwaan kerajaan negeri tidak menyambung kontrak 'Task Force Tanah' dari pejabat tanah di Kuala Selangor, Puchong, Kuala Langat dan Sepang.

Ini kerana, risalah itu mendakwa pasukan khas itu telah membongkar penyelewengan, rasuah dan kes curi pasir di beberapa kawasan di negeri itu.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak penganjur mengumumkan siri jelajah bagi sesi kedua dijangka akan berlangsung selepas hari raya Aidilfitri.

ADS