Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Felda akan memfailkan saman pada bila-bila terhadap akhbar rasmi PKR - Suara Keadilan - yang mendakwa agensi itu bankrap.

"Pihak saya telah dimaklumkan mengenai prosedur dan jenis tindakan yang dibuat.

"Saya difahamkan oleh peguam bahawa saman itu akan dibuat bila-bila masa," kata pengerusi Felda, Tan Sri Yusof Nor hari ini.

NONE Ditanya tarikh yang tepat saman itu akan difailkan, beliau berkata itu diserahkan kepada peguam.

Yusof diminta mengulas soalan pemberita mengenai bila agensi kerajaan itu akan menyaman akhbar rasmi PKR, 'Suara Keadilan' yang menyiarkan artikel bertajuk 'Felda Bankrap' yang disiarkan pada 22 hingga 29 Jun lepas.

Beliau memberitahu demikian dalam satu sidang media selepas menyampaikan sijil rundingan meja bulat minyak sawit mapan (RSPO) di Wisma Felda di ibunegara pagi tadi.

Mengulas lanjut, Yusof mendakwa sikap negatif yang ditujukan kepada Felda adalah perbuatan kumpulan yang mempunyai "agenda politik tertentu".

"Itu yang saya tahu. Ertinya ini agenda politik. Ia sebenarnya bersifat politik semata-mata," tambahnya.

Bagaimanapun, beliau tidak menamakan kumpulan yang dimaksudkan itu apabila ditanya pihak media.

suara keadilan report on felda bankrupt 220610 Mengulas mengenai tindakan 766 peneroka di Negeri Sembilan yang menyaman Felda Isnin lalu, Yusuf mendakwa, ia dibuat atas inisiatif kumpulan tertentu "supaya peneroka mendengar cakap mereka".

Yusof berkata, beliau difahamkan ia merupakan kumpulan yang sama yang mengkritik Felda selama ini.

Dalam sidang media yang sama juga, Yusof juga berkata beliau difahamkan bahawa peneroka dikenakan bayaran tidak kurang RM500 bagi proses memfailkan saman tersebut.

"Saya minta peneroka berhati-hati apabila seseorang mengambil inisiatif untuk menyaman Felda dan meminta bayaran. Saya difahamkan bayaran itu tidak boleh dipulangkan.

"Saya menyeru kepada peneroka supaya jangan terpengaruh dengan perbuatan sedemikian, kerana mereka akan menjadi mangsa. RM500, bagi peneroka bukanlah (jumlah) yang kecil," katanya.

 

ADS