Hakim mahkamah tinggi Datuk Wahab Patail hari ini berkata beliau berasa berat hati untuk mendengar kes tersebut memandangkan seorang daripada timbalan pendakwaraya, Datuk Gani Patail, adalah adiknya.

Beliau berkata begitu dalam perbicaraan kes hasutan Ketua Pemuda Keadilan Mohamad Ezam Mohd Nor telah dipindahkan daripada mahkamah sesyen, tempat Ezam asalnya dituduh pada 13 Mac lalu.

Bagaimanapun Wahab berjanji akan menjalankan kes yang melibatkan "kepentingan politik itu dengan adil dan keputusan akan turut diteliti oleh hakim berpengalaman."

Timbalan Pendakwaraya Karim Abdul Jalil memohon supaya kes itu dipindah ke mahkamah lain bagi "mengelakkan sebarang persepsi" kerana kebetulan "kertas pertuduhan ditandatangani oleh Gani."

Peguam bela Christopher Fernando mempertikaikan kenyataan Karim itu kerana ia akan menimbulkan isu yang sama terhadap kes-kes jenayah yang lain. Ezam turut diwakili oleh Zainur Zakaria dan Mohd Yusmadi Mohd Yusof.

Hakim kemudian meminta kedua-dua pihak menyiapkan hujah berkaitan prinsip undang-undang sama ada beliau layak untuk mendengar kes itu.

Ezam dituduh di bawah seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 berhubung satu kenyataannya seperti dilaporkan oleh akhbar Mingguan Malaysia 4 Mac lalu.

Pemimpin pembangkang itu dituduh "pada 3 Mac 2001, jam 2 petang bertempat di No 46-M, Jalan Chan Sow Lin, di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kamu telah menyebutkan kepada Yusri Sahat, seorang pemberita Utusan Malaysia perkataan-perkataan yang menghasut iaitu: bahawa kamu menyatakan yang kamu mengaku akan mengadakan demonstrasi setiap hari, bukan setiap minggu, apabila tiba masa dan ketikanya.

"Bahawa kamu mengatakan demonstrasi jalanan akan hanya berhenti apabila pemimpin kerajaan yang ada digulingkan.

"Bahawa kamu mengatakan menggulingkan kerajaan dengan demonstrasi jalanan adalah perkara biasa bagi negara yang mengamalkan demokrasi. Perkara itu tidak perlu dimomokkan dan kamu memang nak mengubah kerajaan."

Jika disabit kesalahan, Ezam boleh dihukum denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya. Kes bersambung Jumaat ini.

Kes Al-Ma'unah

Sementara itu dalam perbicaraan lain, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini meminta 19 ahli kumpulan Al-Ma'unah membela diri atas tuduhan melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong tahun lalu.

Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin memutuskan mereka membela diri selepas pihak pendakwa menamatkan sesi penggulungannya.

Seramai 18 orang tertuduh pagi ini bersedia untuk mengangkat sumpah bagi memberikan keterangan pembelaan. Bagaimanapun ketua kumpulan itu, Mohd Amin Mohd Razali memilih untuk berdiam diri.

Karpal memohon kes itu ditangguhkan dan mahkamah membenarkan kes itu disambung pagi esok.

Perbicaraan di bawah seksyen 121 Kanun Keseksaan merupakan kes jenayah menderhaka yang pertama di negara ini. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman gantung atau penjara seumur hidup.

Sebelum ini, 10 orang anggota kumpulan yang sama mengaku bersalah atas tuduhan pindaan dan masing-masing dihukum penjara 10 tahun.

Mereka dituduh mengambil senjata dari Pos 2, Kem 19, Kuala Rui, Lebuhraya Timur Barat, Gerik, Hulu Perak; Batalion 304 Gerik, Kem tentera Hulu Perak dan Bukit Jenalek antara bulan Jun dan Julai tahun lepas.