Malaysiakini BERITA

'Teo di surau': Akar umbi PAS tiada masalah

Abdul Rahim Sabri  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

PAS Serdang berpendapat tiada masalah bagi seorang pemimpin bukan Islam menyampaikan 'tazkirah' dalam sebuah masjid atau surau kerana Islam merupakan sebuah agama yang bersifat anjal.

"Kita tidak ada masalah (dan) kita tidak mahu memanjangkan perkara ini," kata ketua Pemuda PAS Serdang Mohd Adram Musa.

NONE Sehubungan itu, menurut Mohd Adram lagi, isu ahli parlimen Serdang Teo Nie Ching memasuki sebuah surau di Kajang dianggap kontroversi ekoran stigma masyarakat yang beranggapan "bahawa Islam itu untuk Melayu semata-mata".

"Bila kaum Cina dan India menghampiri surau atau masjid, timbul satu perspektif yang tidak baik. Dalam konteks dakwah, kena ada fleksibiliti, khususnya di negeri Selangor.

"Kita perlu mengutamakan dakwah dan keharmonian antara kaum," kata Mohd Adram yang juga ahli Majlis Perbandaran Kajang.

Mohd Adram mengulas laporan muka hadapan Utusan Malaysia hari ini berhubung tindakan surau Al-Huda di Kajang Sentral, Kajang yang mengundang Teo berucap di ruang solat surau berkenaan pada 22 Ogos lalu.

NONE Akhbar milik Umno itu memetik Pengarah JAIS Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai berkata, perkara tersebut tidak harus berlaku kerana orang bukan Islam tidak dibenarkan memasuki masjid dan surau, apatah lagi ruang solat utama kerana mereka dikategorikan seperti wanita yang didatangi haid.

Bercakap kepada Malaysiakini petang ini, Mohd Adram yang juga bendahari Pemuda PAS berkata, berkata pintu dakwah harus sentiasa terbuka kepada bukan Islam sebagai usaha menerangkan tentang kebaikan agama itu.

Menurutnya, ketika zaman Nabi Muhammad dahulu, orang bukan Islam juga dibenarkan masuk ke dalam masjid bagi mendapatkan penjelasan tentang Islam.

Sementara itu, usaha Malaysiakini menghubungi pihak pengurusan surau berkenaan setakat ini masih belum berhasil.