Jawatankuasa teknikal ketiga Umno-PAS hari ini mengemukakan pendekatan baru bagi menjayakan perbincangan peringkat tertinggi pemimpin dua parti itu selepas wujud 'perang mulut' antara dua pihak.

Pertemuan itu kali ini yang diadakan di Carcosa Seri Negara selama 90 minit mulai jam 2.30 petang tadi berlangsung dengan mesra.

Kedua-dua pihak akan mengemukakan pendekatan itu kepada pemimpin tertinggi parti masing-masing.

"Pendekatan baru ini perlu supaya kedua-dua pihak dapat merealisasikan pertemuan (sebenar)," kata Dr Mohd Hatta Mohd Ramli, setiausaha politik kepada Ketua Pembangkang dan juga Presiden PAS, kepada malaysiakini .

Bagaimanapun beliau enggan menjelas lebih lanjut "pendekatan baru" yang akan dikemukakan kepada jawatankuasa pusat PAS.

Hatta berkata, terpulang kepada parti itu untuk menerima pendekatan baru tersebut.

Apabila ditanya sama ada terdapat isu-isu lain seperti 'Amanat Haji Hadi' dibincangkan dalam pertemua tersebut, Hatta berkata pihaknya hanya menegaskan agenda pertemuan dan tiga prasyarat PAS.

Dua prasyarat yang masih menjadi isu antara Umno dan PAS adalah mengembalikan bayaran royalti minyak kepada kerajaan PAS Terengganu dan kebenaran menerbitkan lidah rasminya, Harakah sebanyak lapan kali sebulan seperti sebelum dihadkan pada Mac tahun lalu.

Prasyarat ketiga, agar kerajaan tidak meneruskan ura-ura untuk menggugurkan perkataan Islam pada nama pertubuhan, tidak lagi menjadi isu apabila Majlis Raja-raja baru-baru ini membuat keputusan membenarkan penggunaan nama Islam pada pertubuhan, termasuk PAS.

Pertemuan itu tadi dihadiri oleh semua ahli jawatankuasa teknikal kedua-dua parti.

Hatta tidak memaklumkan pertemuan seterusnya. Malaysiakini gagal mendapatkan ulasan pihak Umno.