Presiden Badan Bertindak Orang Asli Selangor (BBOAS), Simpan Suda berkata, tindakan sekumpulan masyarakat Orang Asli di Kampung Olak Lempit, Kuala Langat dalam menuntut tanah seluas 200 hektar daripada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mungkin berkait dengan kegiatan perlombongan pasir.
Simpan berkata, BBOAS tidak bertanggungjawab atas tuntutan yang dikemukakan oleh Badan Bertindak Tanah Warisan Orang Asli Mukim Tanjung 12 memandangkan ia mungkin dibuat atas kepentingan individu tertentu.
"Bagi saya, badan bertindak ini pertubuhan haram sebab kerajaan Selangor hanya iktiraf (BBOAS).
"Tuntutan itu dibuat bukan untuk kepentingan Orang Asli tapi mungkin kerana kepentingan individu sebab mereka hendak keluarkan pasir di kawasan itu," kata Simpan ketika dihubungi Malaysiakini .
Katanya lagi, pertubuhan yang diwakili Asang Ngah itu juga kini tidak ada kena mengena dengan BBOASs, selepas dilucutkan keahlian daripada menganggotai pertubuhan yang di bawah kelolaan Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Hal Ehwal Pengguna Selangor itu.
"Asang dulu dia dalam jawatankuasa kita, tapi kita dah lucutkan keahlian dia. Apa yang dia hendak buat ini tak ada kena mengena dengan (BBOAS) sendiri.
"Saya sebagai pengerusi - saya tidak bertanggungjawab atas tindakan mereka. Ini bukan satu tindakan yang diputuskan oleh (BBOAS)," kata Simpan lagi.
Katanya, tuntutan itu, termasuk rancangan untuk berdemonstrasi pada Sabtu ini, perlu dibawa ke mesyuarat BBOAS untuk diiktiraf sebagai tindakan yang didukung badan berkenaan.
"Mungkin pada dia (tindakan ini) betul tapi tidak pernah dibawa dalam mesyuarat. Biarlah (apa tindakan mereka), saya tidak sokong, saya tidak iktiraf," katanya lagi ketika ditanya mengenai kesahihan tuntutan yang dikemukakan itu.
Badan Bertindak Tanah Warisan Orang Asli Mukim Tanjung 12 menuntut supaya tanah berkenaan kekal milik mereka, atau diberikan pampasan sekiranya PKPS benar-benar ingin mengusahakan tanah berkenaan.
