Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Sekumpulan penduduk dari kalangan masyarakat Orang Asli di Olak Lempit, Kuala Langat bercadang mengadakan satu demonstrasi Sabtu ini bagi membantah tindakan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mengambil sebidang tanah yang didakwa milik mereka.

Seorang wakil penduduk berkenaan Asang Ngah berkata, demonstrasi dianjurkan Badan Bertindak Tanah Warisan Orang Asli Mukim Tanjung 12 itu juga juga bagi menuntut supaya tanah seluas kira-kira 200 ekar itu kekal milik mereka.

"Kita tidak serahkan tanah ini kepada PKPS, jadi macam mana mereka hendak jalankan projek di kawasan ini?," katanya, dan menambah, beberapa jentera pertanian juga telah ditempatkan di kawasan terbabit.

Demonstrasi yang dijadual bermula jam 10 pagi Sabtu ini di tapak projek berkenaan juga menuntut PKPS membayar pampasan kepada penduduk berkenaan sekiranya agensi kerajaan negeri itu benar-benar mahu mengambil tanah berkenaan, kata Asang.

"Selama ini tanah tersebut kami gunakan untuk tanam pisang dan sayur-sayuran, tapi sekarang PKPS sudah letak papan tanda untuk buat satu projek," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Tambahnya, PKPS telah membuka tender untuk memajukan kawasan berkenaan dengan tanaman sawit.

"Status tanah mengikut pelan, telah diberikan kepada PKPS tapi ikut sejarah kita ini adalah tanah rayau atau tanah warisan Orang Asli.

"Kita bersedia untuk pergi ke mahkamah untuk selesaikan perkara ini," katanya Asang lagi.

Malaysiakini telah menghubungi PKPS tetapi pegawainya meminta Malaysiakini menghantar surat mengenainya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS