mk-logo
Berita
Ahmad Maslan: PPR RM180 juta hanya kos anggaran

Ketua penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata kos sebanyak RM180 juta untuk Projek Perumahan Rakyat Gua Musang yang diumumkan pada 24 November lalu hanyalah kos anggaran dan mungkin melibatkan beberapa fasa.

Katanya, projek pembinaan sebanyak 1,500 unit rumah itu juga berharga RM80,000 dan bukannya melebihi RM100,000 seperti yang dipertikaikan exco kanan kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa.

"Itu kos anggaran. Kos terperinci itu masih belum dikira lagi. Mungkin termasuk tanah dan perkara-perkara lain lah. Ini baru anggaran.

"Yang kita diberitahu, angka sebenarnya ialah RM80 ribu satu unit. (Kos) RM180 juta ini anggaran, mungkin ada fasa.

"Maklumat terperinci itu kita tidak dapat. Mungkin ada fasa pertama, kedua (untuk projek ini)," katanya ketika bercakap kepada wartawan di Pusat Media bagi pilihan raya kecil DUN Galas di Gua Musang hari ini.

Katanya, jumlah kos sebanyak RM80,000 seunit itu juga termasuk subsidi sebanyak RM45,000.

"Saya kira yang RM180,000 ribu ini mungkin dari segi fasa dia, saya difahamkan," katanya lagi

Husam sebelum ini mempersoalkan kos pembinaan yang tinggi bagi setiap unit rumah dalam Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang yang dilancarkan timbalan perdana menteri pada 24 Oktober lalu

Menurut Husam, peruntukan untuk membina flat berkenaan terlalu tinggi sehingga RM120,000 bagi setiap untuk seluas 700 kaki persegi itu.

Beliau juga berkata, kos itu terlalu tinggi memandangkan kos untuk rumah flat kos di Kelantan hanya akan mencecah RM50,000 atau RM60,000 setiap unit.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini