Malaysiakini BERITA

PAS mohon Agong tangguh RUU pengangkutan jalan

Abdul Rahim Sabri  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

PAS hari ini menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, memohon Seri Paduka menitahkan supaya Rang Undang-undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 yang baru diluluskan, dibahaskan semula di Parlimen.

NONE "Ia tidak dibahas dengan masak. Tempoh perbahasan dalam dua jam, ahli parlimen berbahas hanya lima minit," kata Datuk Mahfuz Omar yang juga ahli parlimen Pokok Sena.

"Akta yang begitu penting, yang menyentuh kepentingan rakyat, tetapi dibuat begitu  tergesa-gesa. Jadi kami fikir tidak wajar dan mohon kepada baginda menitah supaya dibawa balik ke parlimen (untuk dibahaskan kembali)."

Mahfuz yang juga pengerusi jawatankuasa anti saman ekor (KASE) mengetuai delegasi beberapa wakil rakyat PAS dan dua orang peguam mereka ke istana negara pagi ini.

Antara terlibat ahli Khalid Samad (Shah Alam), Dr Hatta Ramli (Kuala Krai), Taib Azamuddin (Baling), Taufek Abd Ghani (ADUN Paroi) dan Zulhazmi Shariff.

Dalam sidang media selepas menyerah memorandum tersebut, Mahfuz berkata rang undang-undang tersebut tidak menyelesaikan pelbagai masalah besar berbangkit, antaranya berkaitan kemalangan maut, kesalahan memandu secara merbahaya, saman ekor dan masalah senarai hitam pemilik kenderaan.

"Kebanyakkan yang dinaikkan (dalam rang undang-undang) adalah kesalahan teknikal, katanya.

Wakil istana terima baik

Sebagai contoh, Mahfuz berkata masalah pertukaran alamat atau kegagalan memberi maklumat yang betul menyebabkan pengguna jalan raya akan dikenakan hukuman penjara.

"Ini bukan satu kesalahan jenayah yang berat," katanya.

Dalam memorandum yang diserahkan kepada wakil Seri Paduka, dilampirkan juga hansard perbahasan di parlimen berhubung akta tersebut.

NONE Mereka kelihatan memasuki Istana Negara pada jam 10.20 pagi dan kelihatan keluar kira-kira 15 minit kemudian.

Ditanya mengenai reaksi pihak Istana, Mahfuz yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Kedah berkata:  "Wakil Tuanku menerimanya dengan baik".

Sementara itu, Taufek yang juga naib pengerusi KASE berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk menyusun langkah penerangan mengenai isu berkenaan kepada rakyat.

"Selagi rakyat tidak mendapat maklumat yang jelas tentang perkara ini, saya rasa rakyat tidak akan melihat isu ini sebagai isu yang besar," katanya.