versi terkini Sekumpulan wartawan yang mengetuai kempen mengutip tandatangan hampir 1,000 wartawan bagi menyokong kebebasan akhbar di negara ini tidak bercadang meneruskan pertikaian dengan Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin.

"Kami tidak berhasrat untuk terus berdebat dengan Zainuddin berhubung dakwaannya bahawa tiada wartawan Melayu terlibat menandatangani memorandum itu," kata jurucakap kumpulan itu, Shaila Koshy, kepada malaysiakini hari ini.

"Kami juga tidak berniat mendedahkan bilangan wartawan Melayu yang menurunkan tandatangan."

Memorandum yang menggesa Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 dimansuhkan dihantar kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dua tahun berturut-turut. Sempena sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia pada Mei 1999, mereka berjaya mengutip 581 tandatangan sokongan daripada wartawan media arus perdana, sementara selebihnya dihantar pada April tahun lalu.

Selain Shaila yang bertugas bersama The Star , kumpulan itu turut dianggotai Zainon Ahmad ( New Straits Times ), K Parkaran, Jacqueline Ann Surin (kedua-duanya The Star ), Joceline Tan (waktu itu New Straits Times ) dan Khaidir Abd Majid.

'Tidak tepat'

"(Mendedahkan nama itu) akan merendah-rendahkan wartawan-wartawan kaum lain," tambahnya. "Kebebasan akhbar adalah isu bagi semua wartawan Malaysia, tanpa mengira kaum."

Ketika dihubungi tadi, Zainuddin masih mempertahankan pendiriannya dan menyatakan kumpulan itu wajar menyoal diri mereka sendiri.

"Tanya pada diri mereka sendiri, sama ada mereka berkata benar atau tidak kepada orang ramai," katanya, apabila diminta mengulas kenyataan Shaila, seperti dilaporkan The Sun hari ini.

Dalam laporan itu, Shaila mempertikaikan dakwaan Zainuddin ketika ahli politik itu melancarkan buku tokoh wartawan Said Zahari, Meniti Lautan Gelora , Selasa lalu.

Zainuddin mendakwa wartawan Melayu tidak terlibat dalam kempen kumpulan tersebut. Bagaimanapun menurut Shaila, pandangan Zainuddin itu "tidak tepat."

"Kenyataan itu tidak tepat kerana sebenarnya ramai wartawan kanan Melayu yang turut menurunkan tandatangan sokongan," katanya, seperti dilaporkan.

Beliau juga menafikan usaha kumpulan itu akibat dipengaruhi oleh pihak asing seperti didakwa Zainuddin.

Dalam kenyataan hari ini, Shaila berkata Abdullah bukan sahaja bersedia menerima memorandum itu dengan hati terbuka pada 1999 tetapi juga bersedia berbincang dengan mereka yang mewakili 951 penyokong desakan itu.

'Bukan golongan profesional'

[#2] Memorandum [/#] itu membincangkan masalah kewibawaan media arus perdana negara ini, khususnya selepas krisis politik ekoran pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Akhir-akhir ini, kewibawaan media dipersoalkan, bukan hanya di kalangan pembangkang dan pengkritik kerajaan, tetapi juga oleh orang ramai," memorandum itu dipetik.

"Juga turut menimbulkan masalah ialah tuduhan bahawa wartawan tempatan hanyalah sebahagian rangkaian alat propaganda kerajaan dan bukannya golongan profesional yang menjalankan tugas sebaik mungkin."

Mereka mengemukakan empat hujah bagi menggesa kerajaan menghapuskan akta yang mengawal media, termasuklah kuasa mutlak Menteri Dalam Negeri yang diperuntukkan oleh akta penerbitan itu.