Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kira-kira 100 orang berhimpun di perkarangan Masjid Al-Ikhlasiah, Kampung Kerinchi membantah tindakan seorang peguam bukan Islam yang meminta laungan azan diperlahankan.

NONE Dengan memegang kain rentang serta laungan Allahuakbar, mereka juga turut membakar patung peguam berkenaan.

Bantahan itu diketuai oleh Pengerusi Majlis Ayahanda Wilayah Persekutuan, Zakaria Awang selepas solat Jumaat.

Dalam kenyataan yang dibacanya, Zakaria berkata Majlis Ayahanda, NGO dan persatuan penduduk dukacita dan terhiris dengan tindakan peguam itu.

Katanya, masjid itu wujud 30 tahun lalu dan sepanjang tempoh tersebut, tidak pernah kedengaran tohmahan seperti itu.

Semalam, pihak pengurusan Majid Al-Ikhlasiah dilaporkan mengambil pendekatan m emperlahankan bunyi pembesar suara ketika laungan azan termasuk ketika solat Jumaat, ekoran aduan seorang peguam bukan Islam yang mendakwa bunyi solat di masjid itu "amat lantang".

NONE Ketua imam masjid berkenaan Mahadi Abdullah berkata pihaknya mengurangkan kadar laungan azan itu selepas mengadakan perbincangan dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akhir Disember lalu.

Zakaria yang juga pengerusi Pertubuhan Kebajikan & Dakwah Islamiah SeMalaysia (Pekida) Lembah Pantai menegaskan bahawa azan adalah sebahagian daripada ibadah umat Islam dan telah lama dipraktikkan.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mengambil tindakan termasuk di bawah akta hasutan, atau menggunakan peruntukan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mendakwa ia menggugat keharmonian kaum.

Zakaria juga menuntut peguam berkenaan memohon maaf, serta mendesak ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar menyatakan pendiriannya berhubung isu ini.

NONE Turut menyertai perhimpunan itu adalah Persatuan Penduduk Kariah Masjid Al-Ikhlasiah, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Sementara itu, ketika ditemui media, wakil Persatuan Penduduk Kariah Masjid Al-Ikhlasiah Fauzi Che Ahmad mempersoalkan tindakan peguam itu yang menurutnya, seolah-oleh "tidak faham sensitiviti" umat Islam di situ. 

"Islam adalah agama rasmi, sepatutnya beliau menghormati sensitviti orang Melayu dan Islam demi keharmonian satu Malaysia," katanya.

Orang ramai yang menyertai demontrasi tersebut turut membawa kain rentang bertulis "Laungan azan, laungan keramat" dan "Kami rela mati demi mempertahankan agama Islam".

Manakala beberapa keping poster turut dipamerkan antaranya bertulis "Jangan main api", "Jangan kurang ajar" dan "Ini negara aman, kenapa bikin panas".

NONE Perhimpunan selama setengah jam mulai 2 petang itu, berakhir tanpa sebarang insiden yang tidak diingini. Kira-kira 20 anggota polis mengawal di sekitar masjid tersebut.

Sementara itu, dalam satu kenyataan,  Nurul Izzah berkata Islam menuntut umatnya mencari kebenaran  secara beradab.

"Kesederhanaan dan keharmonian harus dipelihara," kata naib presiden PKR itu, sambil mengajak pihak yang terbabit untuk bersama dengannya mencari kebenaran dalam isu azan di Masjid Al-Ikhlasiah.

Beliau yang menggesa agar umat Islam mendapatkan penjelasan bertulis daripada pihak berkuasa agama, sama ada wujudnya garispanduan berhubung laungan azan di masjid dan surau.

[GALERI FOTO]

ADS